GAYA HIDUP

OKU Tuai Semangat Di Ladang Kebun Bandar Kampung Tawas

10/11/2025 03:32 PM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

IPOH, 10 Nov (Bernama) -- Kesungguhan sekumpulan warga daripada Persatuan Untuk Insan Bermasalah Intelek Perak mengusahakan tanaman hidroponik di Kampung Tawas, di sini, membuktikan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran mampu berdikari jika diberi peluang dan tunjuk ajar yang betul.

Pentadbir persatuan itu Noreder Abdul Muti  berkata inisiatif di bawah Program Pertanian Bandar itu bermula pada Julai 2022 dengan hanya satu set sistem hidroponik melibatkan 40 pot yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Perak.

pic-2

“Pada mulanya kami cuma tanam salad dan hanya melibatkan lima peserta (OKU). Tujuan kami adalah untuk mengisi masa terluang anak-anak OKU ini, tetapi tanpa disangka mencetuskan minat mendalam dalam kalangan mereka.

“Mereka nampak seronok dan rasa dihargai, lebih-lebih lagi apabila melihat hasil tanaman yang diusahakan itu menjadi,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Noreder, 59,  berkata projek itu dikembangkan secara berperingkat selepas pihak pengurusan melihat kesungguhan serta disiplin tinggi yang ditunjukkan peserta OKU berkenaan sejak proses penanaman ke peringkat tuaian.

pic-3

Katanya kesungguhan peserta terbabit turut menarik perhatian pihak luar yang memberi sokongan, dan sumbangan sebuah rumah hijau pada Mac 2024 menjadi titik perubahan yang membolehkan projek dijalankan dalam skala lebih besar.

“Apabila rumah hijau itu siap, jumlah peserta bertambah dari lima ke 10 orang. Bukan itu sahaja, kami juga kini memiliki lebih 1,200 pot melibatkan penanaman pelbagai jenis sayur seperti salad, sawi, kangkung dan kailan.

“Mereka datang setiap hari dari 8 pagi hingga 11 pagi di tapak ini. Mereka diselia oleh enam tenaga pengajar lelaki yang berperanan memberi tunjuk ajar serta mengagihkan tugasan kepada semua OKU itu,” katanya.

pic-4

Menyentuh cabaran dalam memastikan projek itu berjaya, Noreder berkata disiplin dan kesediaan peserta yang berusia 18 hingga 25 tahun itu dalam mematuhi arahan tenaga pengajar membantu melancarkan setiap peringkat kerja, sekali gus memastikan operasi di tapak hidroponik kekal teratur.

“Kita akui mereka ini tidak seperti insan lain, namun, jika kita pandai ‘menjiwai’ mereka, saya rasa aspek kekurangan diri mereka tidak menjadi satu masalah. Malah, disiplin yang ditunjukkan juga setanding dengan orang biasa,” katanya.

Menurutnya, tanama yang dituai dijual kepada penduduk sekitar selain digunakan untuk membeli peralatan pertanian dan juga bayaran elaun kepada peserta.

pic-5

“Boleh dikatakan setiap bulan kami akan tuai hasil tanaman. Ini kelebihan guna kaedah hidroponik, iaitu tidak memerlukan masa lama untuk menuai tanaman. Kangkung misalnya, boleh dituai dalam tempoh 22 hari, manakala sawi sekitar 40 hari.

“Dalam masa menunggu untuk dituai itu, kami teruskan semai benih baharu supaya kitaran kerja tidak terhenti serta memastikan hasil yang dikeluarkan kekal stabil atau meningkat,” katanya.

Tegasnya, objektif utama projek ini adalah memberi ruang kepada OKU untuk membina kemahiran kendiri dan pada masa sama membiasakan mereka dengan rutin pekerjaan seperti di sektor pekerjaan sebenar.

“Pertanian moden berasaskan sistem hidroponik lebih mudah dan tidak memerlukan penjagaan rumit seperti kaedah konvensional, menjadikan ia sesuai untuk diterapkan dalam latihan OKU,” katanya yang percaya jika usaha itu diteruskan dan disokong, tidak mustahil anak muda OKU terbabit dapat menjadi petani moden.

pic-6

Seorang peserta projek, Mohd Hamzah Zakaria, 25, berkata minatnya terhadap kegiatan bercucuk tanam tercetus ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Ipoh, namun tidak menyangka berpeluang mengusahakannya dalam skala yang lebih besar.

“Saya seronok bertanam. Dulu di sekolah ada belajar tentang tanaman, tapi di sini saya boleh buat betul-betul dan tengok hasil tanaman yang ditanam macam kailan, sawi, salad dan bendi,” katanya.

Pemuda berasal dari Ipoh itu berkata melihat sayuran yang dijaga setiap hari membesar dengan baik memberi rasa puas hati dan menyuntik semangatnya untuk terus komited dalam projek berkenaan.

pic-7

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata sebanyak RM3.22 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian Perak bagi melaksanakan program Pertanian Bandar sepanjang Rancangan Malaysia ke-12.

“Setakat ini, sebanyak 6,420 peserta di 917 lokasi di seluruh negeri telah mendapat manfaat dengan nilai pengeluaran hasil melebihi RM134,000,” katanya.

Beliau berkata peruntukan itu bukan sahaja digunakan untuk penyediaan infrastruktur asas pertanian komuniti, tetapi juga bagi membiayai latihan dan sokongan teknikal agar peserta mampu mengurus tanaman secara berkesan.

-- BERNAMA

KEYWORDS
         
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489085