JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Kegiatan Edar Rokok Seludup, Tahan Empat Lelaki Warga Asing

11/11/2025 03:13 PM

‎SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran rokok seludup dengan penahanan empat lelaki warga asing dan rampasan rokok pelbagai jenama serta barangan lain bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di Sungai Buloh, 18 Okt lepas.

‎‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata ketika serbuan pada 3.30 pagi itu, kesemua lelaki berkenaan didapati sedang memunggah sejumlah kotak disyaki mengandungi rokok dari sebuah lori ke beberapa kenderaan.

‎‎"Kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun itu didapati memiliki dokumen perjalanan sah dan telah masuk ke negara ini pada tahun lepas. 

‎‎"Mereka didapati bekerja sebagai buruh kontrak dan terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok secara sambilan dengan bayaran harian antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada kuantiti barang diuruskan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan digunakan didaftarkan atas nama individu lain dan suspek utama dikesan memegang kunci satu daripada kenderaan terbabit manakala kediaman digunakan mereka pula merupakan rumah sewa milik warga tempatan.

‎‎Shazeli berkata kumpulan terbabit dipercayai bergerak secara bebas tanpa kaitan dengan mana-mana sindiket dengan kesemua suspek tidak mengetahui sumber kewangan operasi dan hanya menerima upah atas kerja dilakukan.

‎‎"Rampasan itu melibatkan 8,727 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM639,470 manakala nilai kenderaan dirampas termasuk sebuah lori bonded dan tujuh kereta dianggarkan RM374,600. Jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,014,070," katanya.

‎‎Beliau berkata kesemua lelaki terbabit kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Mereka akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berikutan mempunyai kaitan dengan satu kes rampasan di kawasan itu.

‎-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489465