JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tiga Lelaki Bantu Siasatan Kes Penemuan Mayat Di Bentong

11/11/2025 01:00 PM

KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Polis Pahang menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan reput di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang di Telemong pada 3 Nov lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 30-an dan bekerja di ladang berkenaan. 

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa, seorang warga Indonesia berusia 41 tahun, dipercayai telah dibunuh hampir dua minggu sebelum mayatnya dijumpai oleh pekerja ladang.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek telah membuat pengakuan berhubung pembabitan dalam kes berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.

Yahaya berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang tinggal di Sentul, Kuala Lumpur dipercayai datang ke kawasan ladang itu untuk berjumpa dengan suspek.

“Berlaku pertikaian antara mereka sebelum mangsa dibunuh,” katanya sambil menambah pihak polis akan membuat pemohonan reman hari ini bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti motif sebenar kejadian. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489391