KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia merancang untuk memperkukuh penglibatan perdagangannya dengan Kemboja, antara ekonomi yang sedang berkembang pesat di ASEAN melalui misi pemerkasaan eksport ke negara itu dari 25 hingga 27 November.
Misi yang diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu bertujuan menonjolkan peranan syarikat-syarikat Malaysia sebagai rakan niaga yang dipercayai dalam memenuhi permintaan Kemboja yang semakin meningkat terhadap barangan pengguna dan perindustrian.
MATRADE berkata misi tersebut akan melibatkan pengeksport Malaysia dalam segmen produk berpotensi tinggi, termasuk barangan pengguna cepat laris, makanan dan minuman, produk penjagaan diri, detergen, produk pertanian seperti baja, serta produk berasaskan petroleum.
“Segmen ini dikenal pasti sebagai pemacu utama potensi eksport Malaysia dan sejajar dengan permintaan Kemboja yang semakin meningkat terhadap barangan pengguna dan perindustrian berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Agensi promosi perdagangan negara itu berkata program berkenaan turut merangkumi sesi pemadanan perniagaan dengan persatuan perniagaan utama, termasuk Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja (MBCC), Dewan Perniagaan Kemboja, Persekutuan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kemboja (FASMEC) dan Persatuan Usahawan Muda Kemboja (YEAC).
Para peserta juga akan menghadiri mesyuarat perniagaan yang dijadualkan lebih awal dengan para pengimport dan pengedar berpotensi, selain taklimat pasaran mengenai peraturan perdagangan serta peluang baharu dalam segmen pertumbuhan tinggi.
Perdagangan Malaysia - Kemboja mencatat pertumbuhan kukuh, mencecah US$848.8 juta (US$1 = RM4.15) bagi tempoh Januari-September 2025, peningkatan 35.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Trend peningkatan ini didorong oleh permintaan Kemboja yang semakin tinggi terhadap makanan dan minuman terproses, produk penjagaan diri serta bekalan perindustrian dari Malaysia,” kata MATRADE.
-- BERNAMA