POLITIK

Calon PH Inanam Mampu Gandakan Pencapaian, Rumah SMJ Bukti Kepedulian Kerajaan

18/11/2025 04:43 PM

KOTA KINABALU 18 Nov (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menggandakan pencapaian sekiranya diberi mandat baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau yang berdepan saingan 13 penjuru berkata masih terdapat banyak pembangunan yang tidak sempat dilaksanakan sepanjang mentadbir kawasan itu, namun yakin dapat diteruskan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Betul, ada yang mengatakan kita tidak cukup deliver, dan hakikat itu kita terima kerana masa terhad. Namun saya yakin, jika diberikan mandat untuk lima tahun akan datang, kita boleh deliver dua kali ganda daripada apa yang dicapai sekarang.

“Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan inilah kekuatan yang meyakinkan kami bahawa sebaik sahaja menang, kita boleh melaksanakan janji kepada rakyat, khususnya pengundi di Inanam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Tunai Janji di Kampung Dambai, Inanam, bersama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini.

Terdahulu, Peto, 59, meninjau lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang siap dibina dalam tempoh kurang satu bulan setengah bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas insiden kebakaran awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Peto berkata kerajaan mengambil keputusan membina rumah tersebut tanpa melihat latar ekonomi keluarga berkenaan, sebaliknya mengutamakan keperluan mendesak mereka untuk kembali memiliki tempat tinggal yang selesa.

“Rumah ini dibina kerana empat buah rumah di kawasan ini terbakar awal tahun lalu. Kita berjanji untuk membina rumah SMJ secepat mungkin. Walaupun ada sedikit kelewatan proses masuk rumah, rumah ini sangat bererti dan memberi kegembiraan tinggi kepada keluarga terkesan.

“Kita tidak melihat kekuatan ekonomi mereka, sebaliknya terus mengambil langkah cepat membina rumah selesa. Inilah konsep kita menyantuni rakyat dan memberi hasil kerja terbaik,” katanya.

Selain itu, Peto berkata kawasan perkampungan Kionsom telah berjaya diwartakan sebagai perkampungan Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) bagi memelihara warisan etnik tersebut.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian signifikan khususnya kepada penduduk KDMR yang sekian lama menantikannya.

“Kita berada di tengah-tengah perkampungan Kionsom, Inanam, dan keseluruhannya telah digazet sebagai warta tanah perkampungan. Sebenarnya, terdapat 22 kampung di kawasan DUN N18 Inanam yang berjaya digazet. Ini amat signifikan dan penting bagi penduduk terutamanya kaum KDMR,” katanya.

Peto menegaskan beliau tidak mengejar populariti melalui media sosial atau ceramah konfrontasi, sebaliknya mahu dikenali melalui hasil kerja yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.

“Kita mungkin tidak popular di TikTok, tetapi mahu popular dari segi deliver hasil kerja kepada rakyat. Itu azam kami,” katanya.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

 

N18: INANAM: SABAH: 45,525
 
1. Sumali @ Marino Ahmad (Rumpun)
2. Gordon Lai Han Yung (PBK)
3. Shone Eric Jr. Majimbun (Bebas/IND)
4. Wong Lee Kah (lewis) @ Lewis Wong (KDM)
5. Edna Jessica Majimbun (Warisan)
6. Datuk Kenny Chua Teck Ho (STARSABAH)
7. Datuk Wong Thien Fook (UPKO)
8. Martin Sibit (GAS)
9. Datuk Peto Galim (PH-PKR)
10. Chia Yun Kong (PR)
11. Roland Chia Ming Shen (Bebas/IND)
12. Paul Anap (PIS)
13. Joseph Linggian @ Joseph Chong (Anak Negeri)
 
(2020: Peto Galim: Warisan Plus - PKR: Maj: 5,638)

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492233