AM

Johor Perhebat Penguatkuasaan, Kompaun Perniagaan Warga Asing Tanpa Lesen Melonjak RM180,000

19/11/2025 02:07 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan warga asing tanpa lesen oleh 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor mencatatkan peningkatan ketara dengan nilai kompaun melonjak daripada RM30,000 pada 2024 kepada RM180,000 tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata dari Disember 2024 hingga Oktober lepas, sebanyak 158 notis kesalahan, 304 kompaun dan 552 tindakan sitaan direkodkan, selain penutupan sementara premis melalui pemasangan tali kuning bagi mencegah pengulangan kesalahan.

“Prestasi penguatkuasaan membuktikan usaha membanteras aktiviti perniagaan warga asing tanpa lesen dilaksanakan lebih tegas, agresif dan menyeluruh sepanjang 2025,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Eng Meng (BN-Pekan Nanas) mengenai tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap premis perniagaan dimiliki atau dikendalikan warga asing tanpa kebenaran sah.

Mohd Jafni berkata tindakan penguatkuasaan merangkumi pemeriksaan lesen, serbuan, sitaan barangan, pembatalan lesen, penutupan premis serta rampasan lesen bergantung kepada tahap, risiko dan jenis kesalahan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan premis dimiliki warga tempatan tetapi pengurusan diserahkan kepada warga asing khususnya dalam sektor kedai runcit, serbaneka dan mencuci kereta.

“Tindakan tegas telah diambil untuk membanteras penyalahgunaan pemilikan lesen. MBPG (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) misalnya memperkenalkan dasar lebih ketat termasuk larangan mengambil pekerja asing dalam sektor peruncitan dan tidak meluluskan lesen kepada pemohon yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.

Mohd Jafni memaklumkan PBT lain turut melaksanakan tindakan menyeluruh melalui kompaun, sitaan, operasi bersepadu berskala besar, penutupan premis serta pembatalan lesen bagi memastikan pemilikan dan pengendalian perniagaan mematuhi peraturan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492575