AM

Mayat Mangsa Kepala Air Di Pintasan Saloma Ditemukan Di Shah Alam

21/11/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Mayat penyelia pembinaan yang dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lepas ditemukan berhampiran Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor kira-kira 45 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam mengesahkan mayat ditemukan pada 10.30 pagi tadi.

“Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan maklumat lanjut akan dikongsikan pada sidang media,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 5.40 petang Isnin, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.

Insiden turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan namun mereka berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493480