JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Toleransi Salah Laku Dalam Perkhidmatan Polis Bantuan

21/11/2025 02:55 PM

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Anggota polis bantuan yang baharu menamatkan latihan diingatkan pelantikan itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang dengan sebarang bentuk salah laku yang mencemarkan perkhidmatan tidak boleh diterima sama sekali.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rani Alias berkata di bawah Seksyen 47 Akta Polis 1967, mereka diberi kuasa tertentu untuk menjalankan tugasan kepolisan di kawasan pengurusan majikan, namun terikat kepada undang-undang, prosedur, tatakelola dan standard profesionalisme ketat digariskan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

Beliau berkata kebanyakan penugasan anggota adalah di kawasan strategik dan kritikal seperti lapangan terbang, pelabuhan, kompleks komersial, terminal industri, gudang logistik dan industri kewangan yang memerlukan tahap patrol dan komitmen tinggi selain ketegasan dalam membuat keputusan.

“Di lokasi begini, satu kelalaian dan kesilapan kecil boleh mengundang risiko besar, membuka ruang kepada pencerobohan, kerosakan, sabotaj atau ancaman keselamatan. Justeru perlu sentiasa peka terhadap sebarang perubahan dalam persekitaran.

“Setiap laporan yang ditulis, rondaan dan pemerhatian merupakan gambaran langsung terhadap kredibiliti organisasi dan tahap profesionalisme anggota keselamatan syarikat itu. 

“Majikan menaruh keyakinan sepenuhnya kepada anda,” katanya pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini. 

Latihan melibatkan 144 pelatih daripada 17 syarikat strategik dari seluruh negara dari 29 Sept hingga 30 Nov dan menekankan modul intensif seperti asas kepolisan, undang-undang, kawad, penggunaan senjata api, pencegahan jenayah, seni mempertahankan diri, laporan keselamatan serta pembentukan jati diri.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493488