AM

PAC Selesai Prosiding Isu Kenderaan Kerajaan, Teruskan Siasatan Sistem e-Jamin

21/11/2025 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menamatkan siri prosiding berhubung pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi, selain meneruskan prosiding berasingan mengenai pelaksanaan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui Sistem e-Jamin.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kedua-dua isu itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025.

Bagi isu pengurusan kenderaan kerajaan, PAC telah memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan pada 3 Nov lepas, diikuti Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri pada 17 Nov, serta Ketua Pegawai Eksekutif Spanco Sdn Bhd pada 18 Nov.

“PAC telah selesai prosiding berhubung isu ini dan akan memulakan proses penyediaan penyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi prosiding berhubung Sistem e-Jamin pula, Mas Ermieyati berkata PAC telah mengambil keterangan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 4 Nov lepas, diikuti Dapat Vista (M) Sdn Bhd pada 19 Nov dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 20 Nov.

Susulan itu, PAC akan memanggil tiga lagi saksi iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) pada tarikh yang akan ditetapkan, bagi melengkapkan prosiding dan menyediakan penyata yang lebih menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata PAC turut menerima kunjungan delegasi Badan Peguam Malaysia pada 20 Nov lepas untuk membincangkan penubuhan Ad Hoc Parliament Liaison Committee (AHPLC) oleh Majlis Peguam sebagai platform penghubung antara kedua-dua pihak.

“PAC melihat potensi kerjasama yang erat melalui inisiatif ini dan mengalu-alukan usaha bersama bagi memperkukuh tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493494