DUNIA

PBB: Keganasan Di Tebing Barat Semakin Meruncing, Kematian Rakyat Palestin Meningkat

22/11/2025 09:41 AM

WASHINGTON, 22 Nov (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai keadaan yang semakin meruncing di Tebing Barat yang diduduki, melaporkan peningkatan keganasan yang menyebabkan orang awam Palestin berdepan korban yang semakin meningkat, pemindahan paksa dan rasa tidak selamat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Berhubung situasi di Tebing Barat, rakan-rakan kemanusiaan kami memberi amaran bahawa tahap keganasan di sana kekal amat membimbangkan dengan angka korban, kerosakan harta benda, pemindahan paksa, kehilangan mata pencarian serta rasa tidak selamat yang mendalam dalam kalangan orang awam Palestin,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita.

Pada minggu ini, kata Dujarric, jumlah kanak-kanak Palestin yang maut pada 2025 meningkat kepada 50 orang.

“Secara keseluruhan, lebih 200 rakyat Palestin kini telah dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun,” katanya.

Dalam tempoh hanya seminggu, menurut Dujarric, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendokumentasikan 29 serangan oleh peneroka haram Israel yang menyalahi undang-undang, mengakibatkan 11 kecederaan serta merosakkan 10 rumah, dua masjid, lebih 10 kenderaan dan pelbagai aset pertanian.

“Kami terus menggesa perlindungan orang awam - termasuk penguatkuasaan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang melakukan serangan - serta penggunaan kekerasan membawa maut oleh pasukan keselamatan dengan pematuhan ketat kepada piawaian penguatkuasaan undang-undang yang diiktiraf antarabangsa.

“Taktik seperti perang tidak boleh diterima sebagai perkara biasa yang baharu (di Tebing Barat)," katanya.

Ditanya mengenai rancangan Israel untuk merampas sebahagian besar tapak bersejarah utama di Tebing Barat iaitu Sebastia, Dujarric berkata PBB telah melihat laporan media mengenai hasrat berkenaan.

“Saya fikir kami telah amat jelas dalam penegasan kami menentang tindakan merampas tanah seperti ini,” tambahnya.

Tentera Israel telah meningkatkan serangan di Tebing Barat sejak tercetusnya serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Okt 2023.

Lebih 1,076 rakyat Palestin maut dan 10,700 lagi cedera akibat serangan tentera serta peneroka haram Israel di wilayah yang diduduki itu. Lebih 20,500 orang turut ditahan.

Dalam pendapat nasihat bersejarah pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah dan menyeru pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

-- BERNAMA-ANADOLU

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493746