JENAYAH & MAHKAMAH

Tempoh Reman Namawee Disambung Hingga Khamis - Polis

10/11/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Tempoh reman penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, disambung tiga hari hingga Khamis ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata perintah lanjutan reman itu bermula esok setelah tempoh reman dari 5 Nov lepas berakhir hari ini.

“Permohonan melanjutkan tempoh reman Namewee dibenarkan hingga 13 Nov,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemuzik terbabit yang merupakan individu terakhir bersama dengan pempengaruh Taiwan berkenaan, iaitu Hsieh Yun Hsin, dianggap penting dalam membantu siasatan dan telah menyerah diri pada Rabu lepas.

Wanita berusia 33 tahun itu ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air di sebuah hotel di Jalan Conlay, dekat sini pada 22 Okt lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam siasatan sama, pemuzik itu turut ditahan kerana memiliki serta menggunakan dadah dan telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Okt.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489037