PASARAN

Bursa Malaysia Tinggi Dalam Dagangan Awal

24/11/2025 10:19 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, disokong oleh aliran meningkat di Wall Street pada Jumaat lepas dan aktiviti belian saham pada harga rendah. 

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.91 mata kepada 1,620.48 selepas dibuka tinggi 2.57 mata kepada 1,620.14 daripada 1,617.57 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 193 kaunter untung mengatasi 128 kaunter rugi manakala 284 kaunter tidak berubah, 2,182 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.18 juta saham bernilai RM61.88 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat lepas berikutan pelabur menyertai aktiviti belian saham pada harga rendah selepas beberapa hari mencatatkan jualan.

Dalam negara, beliau menjangka FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil berikutan pelabur kekal berhati-hati dalam perkembangan mengenai persekitaran makro.

“Bagaimanapun, pasaran lebih luas menunjukkan pengukuhan yang menggalakkan, disokong oleh jumlah dagangan yang tinggi dalam beberapa sesi dagangan yang lepas, menunjukkan pelabur kembali ke pasaran tempatan secara berperingkat.

“Kami menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah dan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,615 hingga 1,625 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM9.93, CIMB menambah tujuh sen kepada RM7.53, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM13.12 manakala Public Bank dan IHH, masing-masing mendatar pada RM4.28 dan RM8.12.

Dalam senarai paling aktif, Tanco dan AHB, masing-masing tidak berubah pada RM1.04 dan tiga sen, Land & General naik 1.5 sen kepada 16 sen, Catcha Digital menambah 2.5 sen kepada 34 sen dan DC Healthcare meningkat setengah sen kepada 12 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle, meningkat 20 sen kepada RM112.20, APM dan F&N, masing-masing menambah 14 sen kepada RM3.40 dan RM32.76, Sarawak Plantation naik 10 sen kepada RM3.15 dan Sarawak Oil meningkat lapan sen kepada RM3.94.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Aeon Credit dan Malayan Cement, masing-masing berkurangan tujuh sen kepada RM5.41 dan RM6.28 serta Kimlun, Paragon dan Master-Pack, masing-masing merosot lima sen kepada RM1.30, RM3.13 dan RM2.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 22.72 mata kepada 11,792.83, Indeks FBM Emas meningkat 24.47 mata kepada 12,021.28 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 22.39 mata kepada 12,015.07.

Indeks FBM ACE merosot 3.41 mata kepada 4,938.18 manakala Indeks FBM Mid 70 naik 39.27 mata kepada 16,880.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 34.84 mata kepada 18,410.84, Indeks Perladangan meningkat 11.39 mata kepada 8,248.02, Indeks Tenaga menambah 0.93 mata kepada 756.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.35 mata kepada 165.28.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494356