JENAYAH & MAHKAMAH

Kerani Rugi Lebih RM90,000 Ditipu Sindiket Kerja Sambilan

24/11/2025 11:22 AM

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Seorang kerani wanita kerugian sebanyak RM94,569 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui aplikasi sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 13 Nov lepas, mangsa yang berusia 44 tahun telah menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan kerja sambilan untuk menjana pendapatan sampingan.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dimasukkan ke satu kumpulan aplikasi Telegram untuk diberi penerangan mengenai kerja terbabit dan dijanjikan komisen sebanyak 20 peratus daripada modal yang dikeluarkan untuk setiap tugasan.

"Mangsa yang berasal dari Kampung Gelugor Raja, di sini diminta membuat tugasan membeli barangan kononnya untuk menaikkan rating syarikat.

"Mangsa yang teruja dengan komisen agak tinggi telah membuat pembayaran bagi pembelian barang sebanyak RM94,569 ke tujuh akaun bank berlainan menggunakan wang simpanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azli berkata mangsa yang bekerja di syarikat swasta menyedari ditipu apabila gagal mendapatkan kembali wang modal dan komisen seperti dijanjikan.

Beliau berkata suspek turut mengarahkan mangsa supaya membuat bayaran tambahan sebanyak RM50,000 bagi mendapat semula wang yang telah dilaburkan.

"Mangsa kemudian telah membuat laporan polis pada 4.49 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494390