KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- S&P Global Ratings telah meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 untuk Asia Pasifik kepada 4.2 peratus daripada 4.0 peratus, ekonomi Malaysia pula kini dijangka berkembang pada kadar yang lebih pantas iaitu 4.5 peratus.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Asia Pasifik Suku Pertama 2026: Tanda-tanda Pemulihan, S&P berkata permintaan berdaya tahan, eksport teknologi lebih kukuh dan ketidakpastian tarif yang berkurangan untuk tinjauan serantau yang lebih baik.
“Kami berpendapat perkembangan positif dalam hubungan Amerika Syarikat (AS)-China ketika ini dan dalam banyak negara, permintaan domestik berdaya tahan akan membantu pertumbuhan Asia-Pasifik bertahan 2026,” kata agensi penarafan kredit itu.
Menurut jadual laporan itu, pertumbuhan KDNK Malaysia telah disemak naik sebanyak 0.2 mata peratusan (ppts) kepada 4.5 peratus pada 2026, inflasi pengguna pada 1.9 peratus dan kadar dasar stabil pada 2.75 peratus.
Bagi China, S&P telah meningkatkan unjuran KDNK 2026 negara itu kepada 4.4 peratus daripada 4.0 peratus sebelum ini disebabkan oleh pennurunan tarif AS ke atas negara tersebut dan daya tahan ekonomi ditunjukkan pada suku ketiga 2025.
Untuk Asia tidak termasuk China, agensi penarafan itu berkata kedua-dua eksport dan permintaan domestik secara amnya bertahan dengan baik sepanjang suku ketiga 2025, disokong oleh penghantaran produk teknologi yang kukuh seperti semikonduktor.
“Kami masih menjangkakan kelembapan di kebanyakan rantau berkenaan pada 2026, berpunca daripada tarif AS. Tetapi kami telah menyemak semula jangkaan eksport berdasarkan tinjauan lebih baik untuk eksport teknologi dan hasil rundingan AS-China yang agak menggalakkan.
“Secara keseluruhannya, kami telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kami untuk Asia Pasifik tidak termasuk China, sebanyak 0.2 mata mata kepada 4.4 peratus dan 2026 sebanyak 0.2 mata mata kepada 4.2 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, S&P berkata bahawa ia menjangkakan ketidakpastian mengenai tarif AS akan kekal pada 2026, sebahagiannya disebabkan oleh petunjuk bahawa pentadbiran AS mungkin menggunakan tarif untuk tujuan politik walaupun keterlihatan telah bertambah baik.
Sementara itu, agensi penarafan itu berkata bank pusat di Asia-Pasifik telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mereka sebanyak purata 65 mata asas (bps) setakat ini pada 2025, susulan pemotongan purata sebanyak 40 mata mata pada 2024.
“Kami melihat sedikit ruang untuk penurunan selanjutnya terutamanya kerana OPR sebahagian besarnya telah menurun hampir dengan anggaran oleh kami terhadap kadar faedah dasar neutral (kadar faedah yang tidak merangsang atau menyekat peertumbuhan ekonomi).
“Antara faktor utama mempengaruhi dasar monetari, inflasi pada masa ini bukan masalah di Asia-Pasifik. Kami menjangkakan inflasi pengguna kebanyakannya kekal rendah dalam persekitaran harga tenaga yang sederhana dan pengalihan eksport keluar dari AS,” katanya.
Secara amnya, S&P berkata mata wang di Asia-Pasifik dijangka meningkat sedikit berbanding dolar AS sehingga akhir 2026.
-- BERNAMA