AM

Kunjungan Hormat JPJ Perkukuhkan Kerjasama Strategik

24/11/2025 04:07 PM

 

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dato' Aedy Fadly Ramli mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki bagi membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

 

Kunjungan ini turut menjadi kesinambungan kepada komitmen integriti yang dizahirkan JPJ dalam Majlis Perhimpunan Setia Khas Bersama Menteri Pengangkutan dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) JPJ di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 14 Oktober lalu.

 

Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dengan penekanan kepada pemantapan hubungan kerja serta penjajaran inisiatif bersama demi memperkukuh keberkesanan pelaksanaan tugas.

 

Kejayaan pelbagai inisiatif dalam operasi dan program JPJ membuktikan bahawa JPJ serta SPRM sentiasa bekerjasama khususnya usaha pencegahan rasuah dalam kalangan warganya.

 

Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Dato' Saiful Ezral Arifin dan Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan.

— BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494553