KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran secara terbuka terhadap FSBM Holdings Bhd kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama selepas syarikat itu mengemukakan keputusan kewangan yang tidak tepat untuk suku ketiga dan keempat tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.
Bursa itu berkata, menurut perenggan 9.35A(1)(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, sesebuah syarikat tersenarai mesti memastikan setiap pengumuman awam adalah berdasarkan fakta, jelas, tidak samar-samar, tepat, ringkas dan mengandungi maklumat yang mencukupi untuk membolehkan pemegang sekuriti dan pelabur membuat keputusan pelaburan yang termaklum.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata ia juga telah mengarahkan FSBM untuk menjalani semakan terhad terhadap laporan suku tahunan mereka oleh juruaudit luar bagi empat suku berturut-turut bermula dengan suku keempat 2024 dan untuk menilai kecukupan proses pelaporan kewangannya.
Bursa itu berkata ia juga tidak mendapati mana-mana pengarah yang telah menyebabkan atau membenarkan pelanggaran itu, tetapi mengingatkan lembaga pengarah tentang tanggungjawab mereka untuk mengekalkan pengawasan yang sewajarnya.
Lembaga pengarah pada masa kejadian itu termasuk Pang Kiew Kun, Tan Wan Yen, Datuk Tan Hock San @ Tan Hock Ming, Ng Yew Soon, Mok Kar Foo, Tey Giap Turn dan Chew Sir Boon.
“Penemuan pelanggaran dan pengenaan teguran secara terbuka terhadap FSBM dibuat menurut perenggan 16.19(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama setelah proses sewajarnya diselesaikan.
“Ini selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan perkara itu termasuk kepentingan dan kesan pelanggaran, serta hakikat bahawa FSBM pernah melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama sebelum ini,” kata Bursa Malaysia.
Bursa itu menambah ia memandang serius pelanggaran itu, dengan menyatakan bahawa pendedahan kewangan yang tepat, jelas dan mencukupi adalah kewajiban asas syarikat tersenarai dan penting untuk mengekalkan pasaran yang teratur dan adil.
--BERNAMA