KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Isu tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sepatutnya dijadikan modal politik, sebaliknya semua rakyat Sabah perlu bersatu dalam memperjuangkan hak berkenaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) serta pernah mengetuai Urus Setia MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata rakyat Sabah hanya menuntut hak yang telah dipersetujui melalui MA63.
Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata terdapat pihak mendakwa kononnya mereka pejuang tegar MA63 dan menafikan usaha orang lain sedangkan mereka sendiri tidak konsisten antara apa dikatakan dengan tindakan dibuat.
Beliau mengambil contoh tindakan Parti Warisan (Warisan) yang tampil seolah-olah “terpaling hero” apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam isu 40 peratus hasil Sabah.
“Hakikatnya mereka (Warisan) tidak membawa kes tersebut ke mahkamah semasa Warisan memerintah Sabah (sebagai kerajaan negeri) pada 2018 hingga 2020.
“Pendirian rasmi kerajaan negeri itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Ogos 2019 iaitu tidak mengambil pendekatan membawa Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana ia disifatkan sebagai langkah tidak elok,” katanya dalam satu video dalam laman Facebooknya hari ini.
Armizan berkata GRS tidak mengkhianati perjuangan hak Sabah, sebaliknya SLS pada 17 Okt secara jelas mengiktiraf peranan kerajaan negeri pimpinan GRS yang konsisten menegakkan hak berperlembagaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Beliau mengingatkan rakyat Sabah untuk menyelamatkan negeri daripada sikap tidak konsisten sesetengah pihak dan memilih GRS yang berkomitmen menjaga kepentingan negeri.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA