PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 24 tahun ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berumur 13 tahun.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan lelaki berumur 45 tahun itu.
Ketika membacakan keputusan mahkamah, Noorin berkata hukuman ke atas perayu adalah setimpal kerana kesalahan yang dilakukan merupakan jenayah yang menjijikkan.
“Mahkamah perlu memberikan peringatan dan amaran bukan sahaja kepada perayu tetapi juga kepada masyarakat bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak terutamanya yang dilakukan oleh seorang bapa kandung adalah satu jenayah yang dipandang serius oleh mahkamah, yang mewajarkan satu hukuman berat,” kata beliau.
Panel itu turut memerintahkan waran pemenjaraan dikeluarkan untuk lelaki itu menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, perayu dibebaskan dengan jaminan RM15,000 sementara menunggu pelupusan rayuannya.
Noorin juga berkata mahkamah mendapati keterangan mangsa adalah keterangan yang tidak sukar untuk diterima.
Beliau berkata meskipun mangsa lewat mendedahkan kejadian itu, kelewatan tersebut tidak menimbulkan keraguan yang munasabah.
“Mangsa semasa kejadian baru berumur 13 tahun, seorang kanak-kanak yang masih memerlukan perlindungan daripada kedua ibu bapanya, dan apabila jenayah dilakukan oleh seorang bapa yang menjadi tempat perlindungannya, adalah sukar untuk mangsa menzahirkan kepada sesiapa pun.
“Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh mangsa mengenai kelewatannya dalam menzahirkan jenayah yang dilakukan ke atasnya oleh bapa kandungnya sendiri,” katanya.
Terdahulu, peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili perayu berhujah bahawa kredibiliti mangsa sebagai saksi diragui kerana laporan polis hanya dibuat tiga tahun selepas kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan pula berhujah mangsa hanya membuat laporan polis pada tahun 2021 kerana bimbang akan kehilangan lelaki itu kerana ketika kejadian, remaja tersebut masih bergantung kepada bapa kandungnya.
Pada 8 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Muar mendapati lelaki itu bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuannya dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan, serta memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Pada 28 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan silang pendakwaan supaya lelaki itu menjalani hukuman penjara secara berasingan iaitu selama 24 tahun.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik sebuah rumah di daerah Muar, Johor pada Disember 2017 serta Januari dan Februari 2018.
Turut mewakili pihak pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir.
-- BERNAMA