KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Kesemua 58 pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ditutup sepenuhnya pada 5 petang ini.
Penutupan pusat pengundian dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan dan jumlah pengundi berdaftar selepas ia dibuka tepat pada 8 pagi.
Seramai 24,426 pengundi layak menunaikan hak mereka hari ini, terdiri daripada 11,697 anggota tentera beserta pasangan masing-masing, manakala 12,729 lagi adalah anggota polis bersama pasangan.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat pukul 3 petang direkodkan pada 91 peratus atau 17,333 pengundi.
Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding PRN sebelum ini pada 2020, yang mencatatkan peratusan keluar mengundi awal sebanyak 56.45 peratus atau 11,781 pengundi pada jam yang sama.
Semua kertas undi awal akan disimpan di balai polis yang ditetapkan dan akan dikira selepas tamat waktu pengundian pada Sabtu ini.
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 melibatkan 1.76 juta pengundi.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA