Oleh Norhidayyu Zainal
HULU LANGAT, 26 Nov (Bernama) -- Status Orang Kurang Upaya (OKU) tidak sesekali menghalang Nasha Azrin Zol Azizan daripada menjalani kehidupan berdikari sehingga berjaya menjadi juruterapi urut bertauliah pada usia 23 tahun.
Hilang penglihatan selepas terjatuh dari buaian ketika berusia lima bulan menjadikan perjalanan hidupnya sarat cabaran, namun anak pasangan Zol Azizan Yahya dan Rohayati Mat Adam ini tidak pernah menggunakan kekurangan itu sebagai alasan untuk berhenti berusaha.
“Bila kita OKU, orang selalu pandang serong dan meragui kemampuan kita. Tapi saya belajar untuk pekakkan telinga dan buktikan yang saya juga mampu berdikari,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran kedainya Nasya Spa & Massage yang dirasmikan Ahli Dewan Negara Isaiah Jacob, di sini baru-baru ini.
pic-2
Minat Nasha Azrin terhadap terapi urutan bermula sejak kecil apabila sering mengikuti ibu dan arwah neneknya merawat orang.
“Dari situ timbul minat, kerana saya tahu urut ini boleh bantu orang sihat,” katanya.
Minat itu membawanya menyertai Kursus Urut Terapi di bawah Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) sebelum memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 selepas setahun setengah mengikuti latihan teori dan praktikal.
pic-3
Bagi membina pengalaman, Nasha Azrin bekerja di sebuah premis urutan selama dua tahun sambil menawarkan perkhidmatan mengurut dari rumah ke rumah secara sambilan pada hari cuti.
Namun, katanya pekerjaan sambilan itu bukan mudah, apatah lagi bagi individu berpenglihatan terhad sepertinya.
“Pernah ada pelanggan tak bayar dan tunjuk resit palsu. Tambah pula sekarang dengan teknologi AI (kecerdasan buatan), semakin senang orang palsukan resit. Itu cabaran paling besar bila kita bekerja sendiri,” katanya.
pic-4
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata dirinya juga tidak terlepas daripada komen negatif ketika membuat siaran langsung di media sosial untuk menarik pelanggan.
“Tapi saya selalu ingatkan diri, jangan layan yang negatif. Fokus pada kerja dan pelanggan yang betul-betul perlukan kita,” katanya.
Berkat usaha gigih selama hampir tiga tahun mengumpul wang simpanan, Nasha Azrin akhirnya berjaya merealisasikan impiannya membuka premis sendiri, Nasya Spa & Massage pada Ogos lepas.
pic-5
Pusat rawatan kesejahteraan itu diuruskan bersama-sama dengan ibunya dan dua pekerja OKU penglihatan lain, menawarkan perkhidmatan antaranya urutan tradisional, refleksologi kaki, sauna herba, scrub badan, mandi bunga serta rawatan bertungku.
Selain perkhidmatan untuk orang ramai, anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut berharap dapat menjadikan spa miliknya sebagai pusat OKU penglihatan yang menamatkan kursus urut terapi di MAB menjalani latihan.
“Mereka boleh datang ke sini untuk training. Apa sahaja pengalaman yang saya ada, saya nak kongsi dan bantu kawan-kawan OKU lain supaya mereka pun boleh berdikari,” katanya.
Berkongsi pegangan hidupnya sebagai pesanan buat OKU, terutamanya golongan muda yang sedang mencari arah hidup, Nasha Azrin berkata: “Jangan cepat putus asa. Jangan dengar orang kata kita tak boleh buat. Fikir positif saja. Kalau kita yakin, kita mesti boleh.”
-- BERNAMA