EKONOMI

PMKS Diminta Percepat Peralihan Kepada Teknologi Pintar, Automasi - Tengku Zafrul

26/11/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) – Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus menggalakkan syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) beralih kepada teknologi pintar serta automasi bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing yang menyumbang kepada penghasilan nilai tambah lebih tinggi.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha itu menyaksikan kira-kira 1,200 syarikat terlibat dalam pelbagai program sejak pelaksanaan dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Industry Forward 4.0 (Industry4WRD).

“Tahap pembangunan teknologi ini diukur melalui penyertaan syarikat-syarikat kita dalam program-program yang disediakan.

“Melalui dana Industry4WRD, pelaburan bernilai lebih kurang RM150 juta telah diluluskan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) manakala Geran Automasi Pintar melibatkan kira-kira 120 syarikat dengan geran berjumlah hampir RM100 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) mengenai jumlah syarikat tempatan yang telah melaksanakan transformasi digital, termasuk penggunaan teknologi pintar kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam sektor pembuatan bagi tempoh suku akhir 2023 sehingga kini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata MITI turut menyediakan pelbagai kemudahan lain menerusi penglibatan agensi-agensi seperti SIRIM Bhd, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) yang menawarkan skim pembiayaan mudah bagi tujuan automasi dan pemodenan.

“Ini adalah skim pinjaman mudah bagi automasi dan pemodenan dan Insya-Allah akan membantu syarikat-syarikat tempatan kita,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan giat memperkukuh keupayaan pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta pembangunan penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk litar bersepadu (IC).

“Selaras usaha itu, Malaysia telah memperkenalkan Visi Silikon yang memberi fokus kepada pembangunan cip AI buatan Malaysia. Kerjasama strategik dengan ARM Limited ini membolehkan syarikat tempatan mengakses harta intelek (IP) ARM, sekali gus mempercepat pembangunan cip AI tempatan.

“Kerajaan juga terus menggalakkan pembangunan teknologi AI tempatan yang mampu menembusi pasaran global,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495445