EKONOMI

735 Juta E-Invois Dikeluarkan Oleh 108,000 Pembayar Cukai Setakat 21 Nov - Lim

24/11/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 735 juta e-Invois telah dikeluarkan oleh 108,000 pembayar cukai setakat tempoh 21 November 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 64,317 pembayar cukai melaksanakan e-Invois secara mandatori yang masing-masing merangkumi 5,528 pembayar cukai bagi fasa pertama, sebanyak 13,964 bagi fasa kedua dan 44,825 dalam fasa ketiga.

Pada masa sama, sebanyak 44,000 pembayar cukai dari fasa keempat dan kelima telah melaksanakan e-Invois secara sukarela.

“Ini menunjukan keberkesanan e-Invois dengan tahap penerimaan dan pematuhan pembayar cukai terhadap e-Invois adalah amat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai pelaksanaan sistem e-Invois setakat ini serta keberkesanannya dalam meningkatkan pematuhan cukai.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata bagi membantu perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam persedian pelaksanaan e-Invois, kerajaan telah memperkenalkan fasa pelaksanaannya kepada perniagaan yang telah mempunyai jualan tahunan di bawah RM5 juta.

Fasa keempat e-Invois yang bermula pada 1 Januari 2026, melibatkan peniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta sehingga RM5 juta manakala fasa kelima mulai 1 julai 2026 pula merangkumi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM500,000 hingga RM1 juta.

Peniaga kecil dengan jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois yang tidak perlu menangung kos tambahan bagi mendapatkan kemahiran teknikal bagi melaksanakannya, kata Lim.

Kerajaan turut menyediakan portal MyInvois yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi terus membantu PMKS.

“Portal MyInvois disediakan untuk diakses dan digunakan secara percuma bagi tujuan proses penghantaran e-Invois manakala aplikasi MyInvois juga telah dibangunkan sebagai platform mudah alih bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois mengunakan telefon pintar.

“Sistem MyInvois e-Pos pula sebagai platform digital ‘point-of-sales’ (titik jualan) yang membolehkan penjual mengeluarkan e-Invois secara langsung pada masa transaksi dengan pembeli atau pembeli boleh meminta e-Invois daripada penjual selepas transaksi selesai,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494438