KUCHING, 26 Nov (Bernama) — Sarawak bakal menjadi tumpuan industri animasi dan permainan digital serantau dengan penganjuran Borneo Animation and Gaming Festival (BAGF) yang dijadualkan berlangsung pada Ogos tahun depan.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penganjuran festival itu bertujuan menghimpunkan pakar industri, pembangun kandungan digital dan komuniti kreatif, sekaligus mengangkat Sarawak sebagai hab baharu sektor animasi dan permainan digital di rantau ini.
Beliau menambah, BAGF dijangka memberi tumpuan khusus kepada penyertaan negara-negara ASEAN, selain menarik pemain industri global ke Malaysia.
“Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut memberikan respons positif dan bersetuju agar satu jawatankuasa bersama ditubuhkan bagi merangka pelaksanaan program tersebut.
“Jawatankuasa itu nanti akan dianggotai wakil kerajaan negeri, Kementerian Digital, dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membincangkan perkara berkenaan dengan lebih terperinci,” katanya.
Gobind berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, di sini hari ini.
Beliau berkata pertemuan itu turut membincangkan komitmen Sarawak terhadap agenda pendigitalan negara di bawah inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) Nation 2030, bagi memperkukuh pembangunan teknologi serta ekosistem digital negara.
Menurut kenyataan Kementerian Digital, BAGF dijadualkan berlangsung selama lima hari, menghimpunkan kira-kira 300 delegasi industri dan menampilkan lebih 200 pempamer.
Selain itu, kementerian menyasarkan penyertaan pemain industri global utama termasuk Walt Disney, DreamWorks, Netflix, Sony Pictures Animation, Konami, dan Nintendo.
-- BERNAMA