EKONOMI

Sunway Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM338.14 juta Pada Suku Ketiga

26/11/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM338.14 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025 daripada RM376.08 juta pada tahun sebelumnya disebabkan oleh kerugian operasi mula niaga hospital baharunya di Damansara dan Ipoh.

Namun, perolehan kumpulan meningkat kepada RM2.57 bilion daripada RM2.03 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu kepada RM801.64 juta daripada RM818.78 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan menokok kepada RM7.49 bilion daripada RM5.03 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata segmen pembinaannya menjadi pemacu utama prestasi kewangan pada suku tersebut selain mencatatkan lonjakan sebanyak 92.3 peratus dalam perolehan kepada RM1.2 bilion.

"Pertumbuhan kukuh ini berpunca daripada kemajuan pesat dalam pelbagai projek pusat data yang menekankan keupayaan pelaksanaan teruji Sunway Construction dalam segmen Kemudahan Teknologi Lanjutan.

"Hingga kini, Sunway Construction berjaya menyerahkan lebih daripada 144 megawatt kapasiti pusat data dan kini menguruskan lapan projek yang sedang berjalan untuk syarikat teknologi global terkemuka," katanya.

Presiden Kumpulan Tan Sri Dr Chew Chee Kin berkata pihaknya dijangka mendapat manfaat daripada ekonomi Malaysia yang kukuh serta disokong oleh pembaharuan struktural yang berterusan dan pelaksanaan pelan induk nasional utama.

"Penubuhan zon ekonomi khas dan pelaburan yang berterusan daripada sektor swasta dan awam menyediakan landskap operasi yang menggalakkan bagi kumpulan serta mengukuhkan prospek pertumbuhan kami," katanya.

Beliau menambah pengembangan sektor penjagaan kesihatan kumpulan ini berada di kedudukan strategik bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan perubatan berkualiti, dipacu oleh peningkatan penyakit tidak berjangkit dan populasi yang semakin menua.

"Melihat kepada kemajuan yang baik di seluruh segmen perniagaan kumpulan sepanjang tahun, kumpulan kekal berada di landasan yang betul untuk mencapai prestasi yang kukuh bagi tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495755