SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti secara terperinci isu melibatkan 12 daripada 33 konsesi lebuh raya yang mencatatkan kerugian akibat kekurangan trafik, menurut laporan kewangan tahun lepas.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata satu perbincangan menyeluruh perlu dilakukan memandangkan perkara itu mempunyai implikasi kewangan yang besar kepada negara.
"Saya tidak boleh membuat kenyataan tergesa-gesa kerana implikasi kewangan adalah besar.
“Sabar dahulu, nanti apabila kami telah memperhalusi kesemuanya, baharu kita boleh membuat kenyataan rasmi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aplikasi Navigasi Lebuh Raya (Highway Navigation) TuJu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun.
Ahmad Maslan dilaporkan berkata 12 daripada 33 konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian akibat kekurangan trafik, berdasarkan laporan kewangan tahun lepas.
Beliau berkata antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
Turut mencatat kerugian ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Setiawangsa–Pantai (SPE), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Klang (SUKE), Terowong dan Jalan Pengurusan Air Banjir (SMART), Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
-- BERNAMA