KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.
Dalam kenyataan, beliau memaklumkan laporan itu dibuat di Gum-Gum, Sabah pada 5.05 petang tadi susulan tohmahan dan tuduhan fitnah oleh Tei kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tei untuk membuat rakaman perbualan mengenai beberapa ahli politik Sabah.
“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihan raya Sabah,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata beliau tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama atau jawatannya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
“Saya yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Baru-baru ini, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa agar Perdana Menteri mengambil tindakan, termasuk kemungkinan siasatan oleh SPRM, berhubung sepucuk surat sokongan yang dikeluarkan oleh seorang daripada setiausaha politik beliau.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan berkata pihaknya akan memanggil Tei selaku individu yang membuat dakwaan itu, serta Shamsul Iskandar dalam masa terdekat untuk merekodkan keterangan.
-- BERNAMA