POLITIK

PKR Sabah Seru Rakyat Jangan Terpengaruh Politik Fitnah - Mustapha

26/11/2025 08:38 PM

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- PKR Sabah menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan politik fitnah, adu domba dan cubaan memanipulasi isu untuk mengelirukan masyarakat ketika suasana semakin panas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung Sabtu ini.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata masa depan negeri itu tidak wajar ditentukan oleh permainan politik tetapi harus dibuat melalui fakta, kejujuran dan dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat Negeri di Bawah Bayu.

“KEADILAN (PKR) Sabah komited untuk terus memperjuangkan agenda reformasi, mengangkat suara rakyat serta memastikan Sabah menikmati pemerintahan yang bersih, stabil dan bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata PKR Sabah menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penerimaan peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mustapha berkata PKR Sabah turut menyokong penegasan Perdana Menteri bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Beliau berkata keputusan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan adalah satu tindakan bertanggungjawab dan selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik.

“Ia membuktikan bahawa tiada sesiapa dalam kerajaan kebal daripada proses undang-undang dan semua tuduhan mesti disiasat dengan adil serta profesional.

“SPRM harus diberikan ruang sepenuhnya untuk menyelesaikan siasatan mengikut prosedur tanpa tekanan politik... ini ialah asas kepada reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495730