JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki Di Bera, Rampas Dadah Bernilai Hampir RM54,000

26/11/2025 11:21 PM

KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam dua serbuan berasingan di Bera hari ini.

Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah dadah bernilai RM53,947.40 daripada mereka.

“Tangkapan pertama melibatkan seorang juruteknik pendawaian berusia 48 tahun di sebuah rumah di Felda Purun dan pemeriksaan menemukan satu ketulan mampat dibalut dengan pita pelekat warna hitam disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 659.14 gram (g),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di Kampung Bohor Baru, polis menahan suspek berusia 42 tahun yang bekerja sendiri dan merampas satu beg plastik hitam disyaki mengandungi ganja seberat 1,057.64g.

Pemeriksaan lanjut pada beg pinggang dipakai suspek, katanya menjumpai 536 biji pil disyaki dadah jenis pil yaba seberat 57.58 g, satu peket heroin seberat 23.22g, tujuh keratan aluminium foil mengandungi 70 biji pil erimin 5 seberat 19.59g, ganja seberat 18.66 gram serta syabu seberat empat gram,” katanya.

Zulkiflee berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap suspek kedua di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kenderaan milik lelaki itu yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Beliau berkata masing-masing yang positif dadah jenis THC dan methamphetamine serta mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik kini direman hingga 2 Dis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495797