Oleh Lucia Terey John
KOTA MARUDU, 27 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Zaidi Jatil berhasrat membangunkan sebuah kawasan perindustrian berasaskan pertanian dan perikanan laut bagi memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
Zaidi berkata pembinaan kilang pemprosesan hasil laut seperti ikan bilis dan kupang dijangka dapat menstabilkan rantaian pasaran komoditi tempatan yang kini berdepan masalah lambakan serta ketidaktentuan harga.
Beliau berkata langkah strategik itu juga mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran terhad di sekitar Kota Marudu dan Kota Kinabalu, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda tempatan.
“Kota Marudu terkenal dengan bilis dan kupang, tetapi pasaran terhad. Bila berlakunya lambakan, harga semakin rendah. Jika ada kilang pemprosesan makanan laut di sini, permintaan akan meningkat dan nelayan tempatan dapat dibantu,” katanya kepada Bernama.
Zaidi berkata kawasan strategik seperti Tanjung Batu dan Marasinsim telah dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk pembangunan industri berkenaan dengan pelabur disasarkan terdiri daripada syarikat dari Semenanjung dan antarabangsa.
“Kita memberi jaminan syarikat-syarikat pelabur ini akan mengutamakan anak tempatan dalam proses pengambilan pekerja kerana ruang pelaburan telah diberikan, maka syaratnya adalah peluang pekerjaan mesti diberikan kepada penduduk Bandau dahulu,” katanya.
Pada masa ini, satu-satunya industri besar di daerah itu ialah kilang sawit yang majoriti pekerjanya berasal dari luar daerah.
Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Zaidi turut bertekad melaksanakan Projek Ladang Rakyat Bandau bagi membuka peluang kepada belia daripada keluarga berpendapatan rendah melibatkan diri dalam sektor penternakan, perikanan, akuakultur dan pelancongan.
Beliau yang berdepan saingan 13 penjuru pada PRN kali ini berjanji untuk mempertingkatkan kemudahan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dari daerah itu, sekali gus menyediakan saluran pembangunan bakat yang lebih sistematik jika diberi mandat.
Bandau yang terletak kira-kira 124 kilometer dari Kota Kinabalu adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Kota Marudu selain Matunggong dan Tandek.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N06: BANDAU: SABAH: 27,390
1. Datuk Redonah Bahanda (GRS-Gagasan Rakyat)
2. Suzie Salapan (UPKO)
3. Datuk Dr Maijol Mahap (Bebas)
4. Willey Lampaki (BN-UMNO)
5. Rizham Abd Rahman (Warisan)
6. Sitti Haima Jailani (PKS)
7. Sauting Rabuyot (PIS)
8. Jaiping Minsu (KDM)
9. Norman Tulang (Aspirasi)
10. Shirewin Davin Patrick @ Joman (STAR)
11. Robbin Banati (PBK)
12. Zaidi Jatil (PH-PKR)
13. Jolius Majawai (Bebas)
(2020: Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda: PN-Bersatu: Maj: 3,303)
-- BERNAMA