Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis, diheret turun oleh penjualan saham mewah terpilih terutama dalam sektor telekomunikasi, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.04 mata atau 0.43 peratus kepada 1,617.46 daripada 1,624.50 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka menokok 2.66 mata kepada 1,627.16 meningkat ke paras tertinggi 1,629.26 dalam dagangan awal sebelum merosot ke paras terendah 1,617.76 semasa sesi dagangan petang.
Pasaran meluas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 655 berbanding 448. Sebanyak 540 kaunter tidak berubah, 1,133 tidak diniagakan dan 98 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.21 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 3.87 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Rabu.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah selepas sebuah syarikat telekomunikasi mencatat pendapatan suku tahunan yang lebih rendah sekali gus mendorong jualan meluas dalam sektor berkenaan.
"Walaupun prestasi itu hanya melibatkan satu syarikat, ini menyebabkan sentimen negatif yang mempengaruhi keseluruhan sektor," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.98 manakala Public Bank rendah tiga sen kepada RM4.35, dan CIMB menyusut 12 sen kepada RM7.48. Maxis rendah lapan sen kepada RM4.06 dan Axiata berkurangan enam sen kepada RM2.59.
Bagi saham paling aktif, Nationgate dan TWL tidak berubah masing-masing pada 99.5 sen dan 2.5 sen manakala Tanco naik dua sen kepada RM1.11. MTouche dan Zetrix masing-masing rendah 1.5 sen kepada empat sen dan 82 sen.
Saham paling untung antaranya F&N yang menokok RM1.16 sen kepada RM34.76 manakala Dutch Lady meningkat 86 sen kepada RM30, dan Time Dotcom melonjak 47 sen kepada RM5.24. BLD Plantation menambah 30 sen kepada RM14.90, dan Life Water meningkat 21 sen kepada RM1.39.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle rendah 80 sen kepada RM109, Petronas Dagangan susut 70 sen kepada RM20.12, dan Petronas Gas menyusut 42 sen kepada RM17.86. KL Kepong rendah 40 sen kepada RM20.20, dan Hong Leong Bank berkurangan 30 sen kepada RM21.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 28.82 mata kepada 12,020.66, Indeks FBM Emas Shariah menambah 0.54 mata kepada 12,001.23, dan Indeks FBMT 100 berkurangan 27.56 mata kepada 11,801.69.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 63.66 mata kepada 17,027.44 manakala Indeks FBM ACE rendah 47.78 mata kepada 4,856.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 92.57 mata kepada 18,557.69, Indeks Perladangan berkurangan 68.88 mata kepada 8,130.24 manakala Indeks Tenaga naik 0.64 mata kepada 755.93. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.25 mata kepada 164.47.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.54 bilion unit bernilai RM2.35 bilion berbanding 1.71 bilion unit bernilai RM2.55 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.32 bilion unit bernilai RM377.33 juta berbanding 1.82 bilion unit bernilai RM311.62 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 346.40 juta unit bernilai RM96.26 juta daripada 341.68 juta unit bernilai RM118.34 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 273.20 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (335.30 juta), pembinaan (87.44 juta), teknologi (224.69 juta), perkhidmatan kewangan (63.82 juta), hartanah (213.64 juta), perladangan (55.54 juta), amanah pelaburan hartanah (18.96 juta), dana tertutup (64,400), tenaga (71.07 juta), penjagaan kesihatan (69.32 juta), telekomunikasi dan media (51.65 juta), pengangkutan dan logistik (49.53 juta), utiliti (30.12 juta), dan amanah perniagaan (113,600).
-- BERNAMA