PASARAN

Getah KL Ditutup Tinggi

27/11/2025 07:46 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, didorong oleh kenaikan dalam pasaran getah serantau berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai bekalan getah yang terjejas akibat hujan lebat di negara pengeluar utama getah asli, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut didorong oleh jangkaan langkah-langkah rangsangan seterusnya daripada Beijing, Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang ditangguhkan selama setahun dan jangkaan penurunan kadar faedah pada Disember yang tinggi.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh kemerosotan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Khamis, didorong oleh kebimbangan mengenai bekalan akibat hujan lebat di Thailand.

Beliau berkata agensi meteorologi Thailand telah memberi amaran mengenai hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dalam ramalan cuacanya dari 26 Nov hingga 2 Dis 2025.

“Keputusan Parlimen Eropah untuk meluluskan penangguhan selama setahun ke atas EUDR mengurangkan tekanan pematuhan serta-merta kepada pengeksport getah dan bermakna langkah-langkah yang memudahkan mungkin diperkenalkan,” katanya.

Katanya harga minyak jatuh pada Khamis selepas data Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan inventori minyak mentah yang jauh lebih besar daripada jangkaan manakala pelan damai Ukraine yang disokong Washington mewujudkan kebimbangan mengenai lebih banyak minyak Rusia kembali ke pasaran.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 naik 11 sen kepada 733.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 4.5 sen kepada 578.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496209