PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) diarah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya serta mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan cuaca tidak menentu ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut menyarankan orang ramai mengutamakan keluarga, mengelak aktiviti luar yang berisiko serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya menyeru semua untuk sentiasa berwaspada, khususnya di kawasan yang berisiko berlakunya hujan lebat berterusan, angin kencang dan banjir kilat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Dr Zaliha berkata orang ramai turut digalakkan mengikuti maklumat rasmi dan amaran cuaca terkini melalui laman web serta media sosial Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dari semasa ke semasa.
Hotline Bilik Gerakan Bencana bagi DBKL ialah 03-2617 8862 / 019-212 0032 manakala bagi PPj 03-8887 7999.
Terbaharu, METMalaysia memaklumkan Selangor, Perak dan sebahagian Pahang bakal mengalami ribut teruk susulan kemasukan Ribut Tropika Senyar di Malaysia sejak 3.30 petang tadi dan dijangka berterusan hingga Sabtu ini.
Ketua Pengarah METMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Ani berkata ribut tropika itu akan menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA