EKONOMI

FIMM Beri Teguran Kepada Tiga Bekas Perunding Unit Amanah, Skim Persaraan Swasta

27/11/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) memberi teguran kepada tiga bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan/atau skim persaraan swasta (PRS) di atas salah laku/pelanggaran peraturan gabungan FIMM.

Dalam satu kenyataan, FIMM berkata perunding-perunding yang dimaksudkan iaitu Noormariyatul Asyeela Mohamad Ali, Choo Wei Jer dan Lai Zheng Lit.

"Teguran awam ini dikenakan bagi menghantar mesej yang jelas iaitu FIMM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh badan berkenaan.

"Ini bertujuan menghalang perunding UTS dan/atau PRS daripada melakukan sebarang salah laku selain mengingatkan mereka mengenai pentingnya untuk mematuhi Peraturan FIMM apabila memasarkan dan mengedarkan UTS dan/atau PRS di Malaysia bagi melindungi kepentingan pelabur awam," katanya hari ini.

Noormariyatul Asyeela yang pada waktu itu merupakan perunding UTS dan PRS di Kenanga Investors Bhd, diberi teguran susulan salah laku menerima wang tunai, penyalahgunaan dana, pemalsuan penyata pelaburan dan memalsukan tandatangan pelabur.

Choo pula merupakan seorang perunding UTS di Phillip Mutual Bhd (PLM), diberi teguran susulan membuat pengaturan dengan perunding lain yang tidak memenuhi syarat kelayakan yang betul.

 Dalam pada itu, Lai iaitu perunding UTS dan PRS PLM, diberi teguran susulan urus niaga yang tidak dibenarkan, membuat pengaturan dengan perunding lain dan tidak memenuhi syarat kelayakan yang betul.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496194