AM

Thailand Ucap Tahniah, RUU Pekerja Gig 2025 Dapat Perhatian Forum PBB

28/11/2025 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Thailand merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas penggubalan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, sekali gus membuktikan pengiktirafan serantau terhadap usaha negara memperkukuh perlindungan pekerja dalam ekonomi gig.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan penghargaan itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Jabatan Perlindungan Hak dan Kebebasan, Kementerian Kehakiman Thailand Nareeluc Pairchaiyapoom, ketika sesi perbincangan bersempena dengan United Nations Forum on Business and Human Rights (UNFBHR) di Geneva.

Beliau berkata Thailand kini sedang merangka undang-undang khusus untuk mengawal selia pekerja gig di negara itu dan menyatakan minat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan struktur dan kandungan perundangan berkenaan.

KESUMA memaklumkan pengiktirafan oleh Thailand itu mencerminkan keyakinan negara serantau terhadap usaha Malaysia dalam memperkukuh ekosistem perundangan yang melindungi hak pekerja, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030.

“KESUMA terus komited dalam memperkukuh perlindungan perburuhan, akses kepada remedi dan keselamatan sosial terhadap golongan pekerja gig dalam ekosistem pekerjaan platform yang semakin berkembang pesat,” menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, delegasi Malaysia ke forum berkenaan disertai kementerian itu bersama-sama lebih 4,000 peserta daripada kerajaan, sektor korporat, pertubuhan masyarakat sivil, institusi pelaburan, kesatuan sekerja dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 25 Nov, Malaysia mengambil bahagian dalam sesi bertajuk Human Rights and Platform Work in Asia-Pacific: Harnessing the Digital Shift, dengan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Puntiha Silivarajoo, tampil sebagai ahli panel dan dipengerusikan oleh Pengerusi UN Working Group on Business and Human Rights Pichamon Yeophantong.

Malaysia berkongsi perkembangan pelaksanaan NAPBHR 2025–2030 yang dilancarkan pada 12 Ogos 2025, termasuk komitmen kerajaan memperkukuh perlindungan perburuhan, keselamatan sosial dan akses kepada remedi untuk pekerja gig.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496491