Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menamatkan tugas menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 2 Dis, 2025, tidak hanya meninggalkan legasi dalam bentuk semangat berterusan bagi memacu daya saing global Malaysia, malah turut memaparkan kepimpinan cemerlang dalam membantu mengurangkan kadar tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Mantan tokoh perbankan berusia 52 tahun yang berundur susulan tamatnya tempoh maksimum enam tahun atau penggal kedua sebagai senator, wajar dipuji bagi pelbagai perancangan, strategi serta program yang beliau lancarkan bagi mentransformasi industri pembuatan secara meluas untuk mempunyai nilai tambah lebih tinggi, termasuk semikonduktor, pelaburan hijau dan digital serta pendekatan yang mampan.
Tengku Zafrul dilantik mengemudi MITI pada 3 Dis 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu, beliau berperanan sebagai Menteri Kewangan bagi tempoh 9 Mac 2020 sehingga peletakan jawatan pada 9 Nov 2022.
Antara perkara menarik sepanjang tempoh menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ialah beliau berkesempatan berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri.
Beliau pernah berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Bersandarkan rekod prestasinya yang baik, tidak hairanlah timbul spekulasi mengenai kemungkinan beliau akan terus berbakti dalam perkhidmatan awam, termasuk dilantik sebagai penasihat ekonomi Perdana Menteri dengan status atau bertaraf menteri.
Legasi lain Tengku Zafrul ialah usaha berterusannya dalam mendorong serta meningkatkan insentif bagi industri mikro serta perusahaan kecil dan sederhana -- nadi sektor pembuatan, termasuk industri automotif khususnya dalam memacu penggunaan kenderaan elektrik, sektor perkhidmatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berorientasikan eksport dengan meneroka pasaran baharu selain mengembangkan lagi pasaran tradisional.
Ini jelas dapat dibuktikan menerusi pelbagai misi perdagangan yang diketuai beliau mahupun Perdana Menteri bagi meninjau pasaran, terutamanya selepas perdagangan global dijejaskan oleh tarif dikenakan AS ke atas sebahagian besar rakan dagangnya, termasuk Malaysia.
Misi perdagangan dan pelaburan yang beliau terajui atau atas kapasiti mengiringi Anwar juga meluas, termasuk ke China, Itali, Jerman, Perancis, AS, Kazakhstan, Uzbekistan, India, Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
Tengku Zafrul juga berperanan penting dalam kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menyuntik semangat penyatuan dalam kalangan menteri perdagangan Asia agar tidak menentang tarif, sebaliknya bertindak memperbaharu komitmen terhadap perdagangan pelbagai hala yang terbuka, terangkum serta berlandaskan peraturan.
Sentimen sama turut beliau zahirkan di pelbagai platform lain, termasuk forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Sidang Kemuncak ASEAN serta Sidang Kemuncak Berkaitan dengan rakan dialog dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sebelum menerajui MITI, Tengku Zafrul juga telah mengumumkan beberapa program bantuan kewangan serta langkah rangsangan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) berikutan implikasi akibat COVID-19 demi membantu rakyat, melindungi sumber pendapatan, menstabilkan pasaran selain meletakkan asas bagi pemulihan ekonomi Malaysia yang sebahagian masih diteruskan dalam pelbagai cara.
Berbekalkan pengalaman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, kemahirannya dalam selok-belok mengemudi satu daripada bank terkemuka Malaysia, turut dimanfaatkan di meja rundingan perdagangan yang matlamatnya jelas -- demi memastikan hanya yang terbaik untuk Malaysia.
Dasar Berpandangan Jauh dan Transformasi Perindustrian
Beliau turut dipuji melalui usaha memacu Malaysia ke arah perindustrian semula, menyokong pelaburan hijau dan digital, di samping menjajarkan dasar perdagangan dengan matlamat transformasi jangka panjang.
Tonggak pencapaian beliau tentunya termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dasar perindustrian yang diwujudkan untuk mentransformasikan sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan negara.
Berlandaskan kepentingan semikonduktor yang semakin meningkat terhadap hasil eksport dan pertumbuhan ekonomi, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) telah dilancarkan di bawah kepimpinan beliau untuk memanfaatkan peluang dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing melalui pengeluaran cip semikonduktor bertaraf tinggi.
Selain itu, beliau telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 dan Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (i-ESG) untuk menggalakkan amalan ESG merentasi industri.
MITI turut memperkenalkan Strategi Pelaburan Hijau dan Rangka Kerja Dasar Ekonomi Kitaran untuk sektor pembuatan dan menjajarkan dasar industri dengan trend kemampanan global.
Momentum Perdagangan, Pelaburan Yang Kukuh
Di bawah kepimpinan Tengku Zafrul, perdagangan Malaysia pada 2024 meningkat 7.4 peratus kepada RM2.88 trilion daripada RM2.64 trilion pada 2023 walaupun dalam realiti persaingan pasaran global.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, prospek Malaysia kekal cerah dengan perdagangan berjumlah RM2.512 trilion.
Malaysia mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM378.5 bilion pada 2024 – peningkatan sebanyak 14.9 peratus daripada prestasi pelaburan diluluskan yang kukuh sebanyak RM329.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Pada 2023, misi pelaburan dan perdagangan MITI ke China yang juga antara rakan dagang utama Malaysia, berjaya menjana potensi pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM170 bilion selain potensi eksport sebanyak RM2.44 bilion.
Malaysia turut meraih potensi pelaburan bernilai RM23.07 bilion serta potensi eksport RM2.1 bilion dalam misi sama ke Jepun pada tahun sama.
Namun, tidak boleh dinafikan, pencapaian bermakna beliau sewaktu menerajui MITI, khususnya tahun ini ialah kejayaan mengurangkan kadar tarif AS daripada 24-25 peratus kepada 19 peratus selain pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS, meskipun menerima pelbagai reaksi.
Tengku Zafrul sebaliknya menegaskan bahawa sektor perniagaan mahukan kepastian yang membolehkan mereka melakukan perancangan serta merangka strategi kos dan perjanjian dengan AS dilihat dapat memenuhi keperluan itu.
Di samping itu, ribuan pekerjaan secara langsung dan sebaliknya, juga bergantung pada perdagangan dan pelaburan dengan AS yang berstatus sebagai kuasa ekonomi dunia.
Apa yang pasti, satu persoalan yang perlu diambil kira oleh pihak yang mempertikai ART adalah apakah yang bakal dihadapi Malaysia jika tidak menyertai rundingan dengan AS dan negara-negara lain bertindak sedemikian?
Ekonomi Malaysia misalnya pasti terjejas diasak tekanan tarif pada kadar 25 peratus dan lebih buruk lagi, tarif khusus atau berasingan ke atas sektor seperti semikonduktor yang merupakan nadi eksport negara.
Justeru, Tengku Zafrul dan Malaysia bertindak betul dalam melakukan rundingan dengan Washington yang membawa kepada pemeteraian ART, malah sebagaimana yang beliau tegaskan, Malaysia tidak hanya bergantung pada permintaan domestik, lebih-lebih lagi ciri ekonominya yang terbuka.
Bersandarkan alasan itu, langkah untuk terus memanfaatkan hubungan dengan satu daripada pasaran eksport terbesar Malaysia seperti AS adalah satu tindakan penting.
Menyedari kepentingan kemajuan Malaysia pada masa depan ketika persoalan mengenai hala tuju beliau selepas ini, Tengku Zafrul dilihat sebagai insan berjiwa besar apabila menzahirkan kesediaan untuk membantu penggantinya dalam proses peralihan sebagai menteri baharu MITI.
Oleh kerana usianya yang relatifnya masih muda, adalah wajar bagi Tengku Zafrul diberi peluang untuk terus berkhidmat kepada negara menerusi kapasiti tertentu berdasarkan sikap tenang dan prestasi cemerlang beliau dalam aspek kewangan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan selain kecekapan sebagai penggubal dasar yang bertepatan serta dapat menyumbang kepada masa depan Malaysia.
-- BERNAMA