KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas ditemukan dalam keadaan terbaring di atas jalan dengan kesan darah di kepala serta luka di tapak tangan kiri dipercayai dipukul, di Lorong 5, Kampung Pandan, di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata lelaki itu meninggal dunia pada 2.33 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras.
“Polis menerima laporan pada kira-kira 12.01 tengah malam tadi dan menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 2.33 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata polis menahan dua warga Myanmar sejurus selepas kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mereka direman tiga hari bermula semalam.
Mohamad Lazim berkata motif kejadian masih dalam siasatan.
Sejak semalam, tular di Facebook satu video berdurasi 1 minit 48 saat yang memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di Kampung Pandan sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
-- BERNAMA