JENAYAH & MAHKAMAH

Pemancing Ditemukan Lemas Selepas Diserang Sawan

02/12/2025 08:22 PM

TANAH MERAH, 2 Dis (Bernama) -- Seorang pemancing ditemukan lemas selepas terjatuh dalam sungai berhampiran Masjid Panglima Bayu, di sini hari ini, dipercayai akibat diserang sawan.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Alias Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 25 tahun itu pada 3.03 petang tadi.

“ Enam anggota bomba menjalankan pencarian dan menemukan mangsa di dalam sungai berkenaan.

“Berdasarkan maklumat daripada adik mangsa, mangsa secara tiba-tiba diserang sawan lalu terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.

Alias berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, rakan mangsa, Ahmad Aris Risqi Lukman Hakim, 15, berkata kejadian berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa memancing bersama adiknya berusia 10 tahun.

“Adik mangsa pulang ke rumah dan memaklumkan kepada ibu mereka bahawa mangsa terjatuh dalam sungai, sebelum ibu mangsa meminta saya membantu mencari serta menghubungi bomba.

“Kami sering memancing di sungai itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498139