AM

Suami Isteri Dikhuatiri Lemas Kereta Terjunam Dalam Sungai Rompin

02/12/2025 10:10 PM

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Sepasang suami isteri dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki mereka dilaporkan terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Rompin dekat Kampung Rantau Panjang, Kuala Rompin hari ini. 

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian berkenaan pada 5.40 petang tadi. 

“Siasatan awal sedang dilaksanakan dan pihak bomba telah mula membuat pencarian di lokasi kejadian dalam keadaan arus sungai yang deras,” katanya menerusi kenyataan malam ini. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang dan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata setakat 8 malam tadi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498174