PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Meningkat Seiring Prestasi Wall Street

03/12/2025 10:55 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih positif, menjejaki peningkatan semalaman Wall Street ketika sentimen dipacu oleh pemulihan minat terhadap aset berisiko susulan keuntungan diraih oleh Bitcoin.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.53 mata kepada 1,631.13 daripada penutupan Selasa di paras 1,630.60.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.86 mata kepada 1,631.46.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 202 berbanding 176 manakala 345 kaunter tidak berubah, 1,981 tidak diniagakan dan tujuh digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 147.45 juta saham yang bernilai RM108.52 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata peniaga masih mengandaikan pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah pada minggu depan dan pada masa sama menjangkakan prospek pendapatan lebih baik bagi 2026.

“Perolehan hasil bon 10 tahun AS kekal mendatar pada 4.09 peratus. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng hampir tidak berubah kerana peniaga masih terkesan oleh aktiviti jualan awal dalam Bitcoin serta kebimbangan terhadap kesan dagangan berkaitan yen,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI terus mengekalkan peningkatannya apabila aktiviti memburu saham-saham berharga rendah terus ketara.

“Indeks itu menguji paras 1,635 sebelum susut kemudiannya pada paras 1,630. Kami percaya sentimen pasaran kekal stabil dan menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,630-1,640 dalam dagangan hari ini.

“Pada masa sama, ringgit kekal kukuh pada sekitar 4.13 berbanding dolar AS,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB dan IHH Healthcare masing-masing menokok 2.0 sen kepada RM8.02 dan RM8.38, Public Bank meraih 1.0 sen kepada RM4.42, Tenaga Nasional meningkat 28 sen kepada RM13.02 manakala Maybank turun 4.0 sen kepada RM10.30.

Bagi kaunter paling aktif, Capital A rugi setengah sen kepada 39.5 sen, Foodie Media berkurangan 1.5 sen kepada 34 sen manakala Kinergy Advancement dan Pharmaniaga masing-masing kekal tidak berubah pada 38.5 sen dan 23.5 sen.

Kaunter paling untung diterajui Allianz Malaysia yang meningkat 60 sen kepada RM20.50 manakala KESM Industries dan Hong Leong Bank masing-masing meraih 12 sen kepada RM2.98 dan RM21.26.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Nestle turun 60 sen kepada RM119.60, Fraser & Neave berkurangan 66 sen kepada RM35.70, MPI kehilangan 34 sen kepada RM31.00, Petronas Gas susut 14 sen kepada RM17.56, Press Metal Aluminium rugi 12 sen kepada RM6.73 manakala Axiata menguncup 4.0 sen kepada RM2.54.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 5.63 mata kepada 12,036.92, Indeks FBM Emas Shariah meraih 11.94 mata kepada 11,860.06, Indeks FBMT 100 meningkat 3.98 mata kepada 11,825.57, Indeks FBM Mid 70 naik 6.31 mata kepada 16,732.31 dan Indeks FBM ACE meningkat 7.83 mata kepada 4,788.70.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.20 mata kepada 19,130.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.71 mata kepada 165.25, Indeks Tenaga susut 1.80 mata kepada 748.61 dan Indeks Perladangan menguncup 12.76 mata kepada 8,078.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498240