KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Soloz: Game of Life, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd, melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran Thailand dan bakal ditayangkan di lebih 80 pawagam negara itu bermula esok.
Penerbitnya Rahila Ali berkata usaha untuk membawa filem berkenaan memasuki pasaran Thailand bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan negara berkenaan terkenal cukup selektif terhadap karya luar.
"Tidak dinafikan prosesnya memang mencabar kerana pasaran Thailand sangat kompetitif dan mereka akan memilih filem luar dengan teliti.
“Namun kami percaya kepada kekuatan cerita, visual dan emosi dalam filem ini, dan dengan usaha berterusan serta keyakinan rakan pengedaran, akhirnya kami berjaya membuka laluan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahila berkata bagi pasaran Thailand, pihaknya bekerjasama dengan Mstudio, sebuah syarikat pengedaran yang kukuh dalam pasaran tempatan serta aktif dalam rangkaian pengedaran antarabangsa.
pic-2
Katanya filem itu mendapat maklum balas positif selepas tontonan awal oleh pihak Mstudio dan mereka tertarik dengan gabungan lakonan sebenar serta elemen imej janaan komputer (CGI) yang memberikan sentuhan moden dan segar dalam dunia perfileman.
"Sejak awal lagi mereka sudah melihat potensi Soloz: Game of Life untuk diperkenalkan kepada penonton serantau. Pengalaman mereka mengedarkan filem-filem Asia memberi keyakinan besar kepada kami.
“Mereka melihat pendekatan visual yang menampilkan pertembungan antara dunia realiti dan dunia permainan berpotensi menarik minat penonton muda, terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand,” katanya yang juga berharap kejayaan tersebut akan membuka lebih banyak peluang untuk filem tempatan ke pasaran antarabangsa.
Rahila berkata bagi memastikan pengalaman tontonan yang lebih dekat dengan penonton tempatan, filem berkenaan telah dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai untuk memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penonton di sana.
Semalam, Malam Gala dan Tayangan Perdana Soloz: Game of Life di Bangkok berlangsung meriah dengan kehadiran pelakon utama Hun Haqeem dad Pengasas serta Penerbit Eksekutif Key Billions Eddie Yap.
Filem yang telah ditayangkan di Malaysia pada awal tahun ini, turut dibintangi Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon dan Nia Atasha.
-- BERNAMA