SUKAN

Malaysia Sasar 200 Pingat Pada Sukan SEA 2025 - Nurul Huda

03/12/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran 200 pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Nurul Huda Abdullah berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan data yang diperoleh berdasarkan prestasi sebelum dan semasa atlet negara.

“Ini ialah angka yang realistik dan satu sasaran yang perlu kami pertanggungjawabkan. Kami berharap atlet-atlet kita akan terus kekal fokus dan konsisten sepanjang temasya itu dan kemudian membawa pulang sebanyak mungkin pingat untuk Malaysia.

“Secara keseluruhan, semua pasukan kami melaporkan mereka berada dalam keadaan yang sangat, sangat bersedia. Mereka amat menantikan temasya itu serta bersedia menghadapi cabaran ini dan beraksi pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di sini hari ini.

Sasaran 200 pingat itu adalah yang tertinggi pernah ditetapkan di luar Kuala Lumpur dalam tempoh 18 tahun, dengan pencapaian terbaik sebelum ini dilakukan di Korat pada 2007 apabila Malaysia mengutip keseluruhan 216 pingat.

Malaysia meraih 322 pingat secara keseluruhan ketika kali terakhir menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada edisi 2017.

Bekas perenang negara itu turut mengumumkan pembawa bendera bagi pasukan Malaysia pada upacara pembukaan edisi ke-33 Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok itu ialah Andre Anura Anuar daripada sukan olahraga dan ratu luncur air Aaliyah Yoong Hanifah.

“Kedua-duanya sangat berpengalaman, terbukti sebagai atlet berprestasi tinggi dan secara konsisten mewakili Malaysia di pentas antarabangsa dengan penuh kebanggaan dan penghormatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata kedudukan lima teratas dalam keseluruhan pungutan pingat adalah sasaran realistik untuk dicapai pasukan Malaysia di Thailand.

Beliau turut yakin Malaysia mampu mencapai sasaran 200 pingat dan menebus prestasi paling buruk pada edisi di Phnom Penh, apabila pulang dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.

“Dengan pertambahan acara-acara sukan yang menjadi kekuatan kita seperti skuasy, tenpin boling dan berbasikal trek, kita sepatutnya mampu melakukan lebih baik daripada Kemboja,” katanya.

Jefri bagaimanapun mengakui sasaran Thailand untuk meraih lebih 254 pingat emas adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Sukan SEA dan jelas mencerminkan strategi beraksi di gelanggang sendiri yang hebat, terutama dengan 574 pingat emas ditawarkan.

Beliau berkata sasaran jumlah pingat yang banyak itu akan mengurangkan peluang negara-negara lain, sekali gus bermaksud negara seperti Malaysia akan berdepan cabaran tambahan untuk memenuhi sasaran pingat emas masing-masing sekiranya tuan rumah menyapu bersih lebih 200 acara.

Malaysia dijadualkan menyertai kesemua 50 acara sukan dan menghantar sebanyak 1,142 atlet serta 515 pegawai.

Sukan SEA 2025 akan berlangsung di dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

Dalam perkembangan lain, Malaysia yang akan menghantar 236 atlet dan 117 pegawai turut menetapkan sasaran meraih 181 pingat pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang berlangsung di Korat, Thailand dari 20 hingga 26 Jan, menurut CDM Mohd Zarrawi Ravi Abdullah.

Terdahulu, MSN mengumumkan dua atlet iaitu Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi daripada angkat berat para dan pemain badminton para Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi sebagai pembawa bendera Malaysia pada upacara pembukaan APG 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498494