SERDANG, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menunggu angka rasmi jumlah petani terjejas akibat banjir sebelum menyalurkan bantuan melalui tabung bencana, kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata pengaktifan tabung bencana itu tidak dibuat secara ‘one-off’, sebaliknya bergantung kepada keadaan semasa dan impak bencana mengikut musim.
“Sekarang banjir baru berlaku dan air pun baru surut di Kedah. Insya-Allah dalam beberapa hari lagi kita akan dapat angka yang sebenar. Selepas itu barulah tabung bencana digunakan untuk membantu petani yang layak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini.
Ditanya mengenai bilangan negeri terjejas, beliau berkata angka rasmi belum diperoleh kerana pasukan KPKM hanya turun padang selepas banjir surut bagi membuat penilaian kerosakan.
KPKM sebelum ini memaklumkan pihaknya menyediakan bantuan pascabencana kepada mereka yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan sebagai usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang memerlukan bantuan segera.
Mohamad pada Isnin lepas dilaporkan TBP memperuntukkan sebanyak RM25 juta tahun ini khususnya untuk membantu mangsa bencana seperti banjir dan kemarau.
-- BERNAMA