SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) komited meneruskan usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan atlet muda bagi memastikan kesinambungan pencapaian cemerlang Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata institusi itu mempunyai sistem pembangunan atlet yang tersusun merangkumi proses pengenalpastian bakat, bimbingan, pendedahan awal serta laluan khas kemasukan ke universiti bagi atlet berpotensi.
Beliau berkata UiTM sentiasa mengenal pasti bakat sukan di setiap kampus sebelum atlet terpilih diberikan bimbingan rapi, latihan berstruktur dan pementoran untuk memastikan potensi digilap ke tahap maksimum.
“Dalam erti kata lain, kita menjaga atlet kita. Kita juga memastikan kesinambungan apabila mereka tamat pengajian, supaya mereka dapat terus menyumbang kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Atlet Sukan SEA bersama Naib Canselor UiTM di UiTM Shah Alam di sini hari ini.
Pada majlis hari ini, beliau berkesempatan bertemu dengan sebahagian daripada 44 atlet UiTM, terdiri daripada 19 lelaki dan 25 wanita, yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.
Beliau turut menyampaikan bantuan kewangan sebagai suntikan semangat kepada para atlet terbabit, sekali gus menzahirkan komitmen universiti dalam memelihara kebajikan mereka sepanjang menjalani persediaan dan tugasan mewakili negara.
“Kalau mereka berjaya membawa pulang pingat, pihak universiti setakat polisi yang kita ada kita akan beri pengecualian yuran sepanjang pengajian sehingga tamat,” katanya.
Penyertaan atlet UiTM pada edisi kali ini merangkumi pelbagai disiplin sukan termasuk memanah, ragbi, angkat berat, pelayaran, kanu, bola baling, perahu naga, berbasikal, hoki, futsal, bola jaring, karate, besbol, sofbol, petanque, woodball dan kayak.
-- BERNAMA