AM

Malaysia Perkasa BIMP-EAGA Untuk Kukuhkan Integrasi Ekonomi, Pembangunan Seimbang

04/12/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh kerjasama sub-serantau termasuk melalui platform Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), sepanjang kepengerusian ASEAN tahun ini, sebagai usaha meningkatkan integrasi ekonomi dan pembangunan seimbang di rantau ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata peranan BIMP-EAGA kekal relevan dalam merapatkan hubungan ekonomi antara negara jiran, khususnya Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina, terutama melalui pengukuhan perdagangan sempadan.

“Perdagangan intra-ASEAN masih rendah, iaitu kurang daripada 35 peratus. Oleh itu, semua platform dan mekanisme sedia ada, termasuk BIMP-EAGA, perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan hubungan ekonomi antara negara-negara ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara hari ini.

Bobbey meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan untuk memperluas peranan BIMP-EAGA khususnya dalam merancakkan pembangunan ekonomi, sosial dan sektor berkaitan di Malaysia Timur sepanjang penggal kepengerusian ASEAN kali ini.

Menjawab soalan mengenai penglibatan belia dalam ASEAN, Mohamad berkata penyertaan generasi muda terus menjadi keutamaan Malaysia dan ASEAN, sejajar dengan pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045: Our Shared Future.

Katanya dokumen itu menekankan pembentukan komuniti ASEAN yang makmur, aman dan inklusif, merangkumi peranan semua sektor termasuk belia, wanita dan ahli Parlimen.

“Anak-anak muda yang berminat dalam ASEAN memang kita libatkan. Bukan hanya belia, malah ahli Parlimen turut diberi ruang melalui inter-parliamentary engagement bagi memastikan visi komuniti ASEAN ini dapat direalisasikan pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad memaklumkan bahawa sepanjang hampir setahun memegang kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berjaya menunaikan mandat dengan cemerlang melalui usaha memperkukuh keamanan, kestabilan, pembangunan komuniti serta kerjasama dan integrasi ekonomi serantau, sekali gus meneguhkan peranan negara sebagai peneraju serantau yang berwibawa dan dihormati.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498789