AM

JAS Labuan Jalankan Operasi Bersepadu Cegah Pelepasan Asap Hitam Berlebihan

04/12/2025 06:56 PM

LABUAN, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan hari ini menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu yang menyasarkan pelepasan asap hitam berlebihan daripada kenderaan berkuasa diesel, selaras dengan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

Pengarahnya Zulfadzli Zakaria berkata operasi yang diadakan di sepanjang Jalan Patau-Patau bermula 9 pagi tadi bertujuan memastikan semua kenderaan enjin diesel mematuhi kriteria dan piawaian yang ditetapkan di bawah peraturan berkenaan.

"Operasi ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilik kenderaan mematuhi had pelepasan yang ditetapkan. Sebarang pelanggaran peraturan boleh menyebabkan kompaun dikeluarkan," katanya.

Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membabitkan pemeriksaan dan penilaian visual.

Sebanyak 62 kenderaan menjalani ujian pelepasan visual dengan lapan notis amaran dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang menghampiri tahap ketidakpatuhan.

Polis turut mengeluarkan lima saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Zulfadzli berkata jabatan itu akan terus menjalankan operasi untuk meningkatkan kesedaran dan memastikan semua pengendali kenderaan berenjin diesel mengambil langkah proaktif menyelenggara kenderaan mereka dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498940