AM

UMT Lancar Program Menyemai Kehijauan Tangani Pencairan Ais Di Bumi Antartika

04/12/2025 07:16 PM

KUALA NERUS, 4 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan program Menyemai Kehijauan untuk Bumi Antartika sebagai sokongan terhadap usaha menangani isu pencairan ais yang memberi kesan kepada iklim global.

Penyelaras program Prof Madya Dr Wan Rauhan Wan Hussin berkata program itu dijalankan secara kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Geng Plastik Ija dan komuniti perikanan Pengkalan Jie yang diselaras oleh Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan-UMT (NARC-UMT).

Beliau berkata antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk penanaman anak pokok rhu dan ketapang di kawasan pesisir pantai UMT hasil sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

“Menyemai Kehijauan untuk Bumi Antartika bukan sahaja melibatkan aktiviti penanaman tetapi diselitkan juga dengan program kesedaran mengenai peranan ekosistem kutub dalam memastikan kestabilan iklim dunia.

“Selain berfungsi sebagai penyerap karbon yang membantu mengurangkan masalah pemanasan global, penanaman pokok spesies rhu dan ketapang adalah langkah mitigasi alami dalam menangani isu hakisan pantai yang semakin ketara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rauhan berkata usaha itu juga selari dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan aspek tindakan iklim, perlindungan biodiversiti dan pengurusan lestari kawasan pesisir.

Beliau berkata UMT melalui kerjasama dengan NARC-Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (NARC-YPASM) kini menjadi antara universiti peneraju dalam penyelidikan kutub negara.

“Kajian terbaharu menunjukkan pencairan ais di Antartika berlaku pada kadar yang semakin membimbangkan disebabkan peningkatan suhu lautan serta perubahan ekosistem alam.

“Perubahan yang berlaku di Antartika memberi kesan kepada corak cuaca global termasuk Asia Tenggara. Walaupun Malaysia jauh dari benua Antartika, tindakan mitigasi tempatan seperti penanaman semula pokok, pemuliharaan pantai dan pengurangan jejak karbon akan memberi kesan positif terhadap kestabilan iklim,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498952