KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Tiga pelakon popular dari India Selatan - Ajith Kumar, Vijay dan Silambarasan TR - dijadualkan berada di Malaysia pada bulan ini bagi menghadiri acara berasingan, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat mereka.
Kehadiran tiga bintang ternama Kollywood (gelaran industri perfileman Tamil di India) ini juga mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai antara hab peminat antarabangsa terbesar sinema India Selatan.
Aktor pertama tiba di Kuala Lumpur ialah Ajith Kumar yang dijadualkan menyertai perlumbaan ketahanan Michelin 12H Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini dan esok.
Beliau akan mengetuai pasukannya Ajith Redant Racing dalam kelas GT3 bersama dengan adik-beradik dari Belgium, Ayrton dan Yannick Redant serta Kobe de Breucker, memandu jentera Mercedes-AMG GT3 Evo.
Pengasas Kelab Peminat Ajith Malaysia, Devendran Panersilbam yang menyambut ketibaan bintang pujaannya itu di SIC, berkata beliau adalah peminat setia Ajith Kumar sejak 2001 dan menjadikan prinsip, disiplin serta falsafah aktor berkenaan sebagai pegangan hidupnya.
“Kali terakhir Ajith datang ke Malaysia ialah pada 2015 untuk penggambaran filemnya ‘Yennai Arindhaal’. Kali ini, beliau kembali sebagai pelumba, sesuatu yang amat membanggakan para peminatnya. Ajith juga dijangka berada hampir tiga minggu di Malaysia dan beliau sudahpun melawat Batu Caves,” katanya yang mengetuai kelab itu selama 14 tahun.
Sementara itu, Silambarasan, atau lebih dikenali sebagai Simbu, akan membuat penampilan di ibu negara bagi merasmikan pembukaan bilik pameran emas dan berlian kelima serta yang terbesar MS Gold di Jalan Masjid India pada esok (6 Dis).
Bintang Kollywood itu yang mempunyai kira-kira 15.1 juta pengikut di Instagram, dijangka menarik kehadiran ramai pada pelancaran bilik pameranberkenaan.
pic-2
Pengasas MS Gold yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata kehadiran Simbu menandakan pencapaian besar syarikat.
Kemuncak bulan ini ialah ketibaan aktor yang juga ahli politik, Vijay, bagi pelancaran audio filem terbaharu beliau Jana Nayagan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Dis.
Acara mega anjuran Malik Streams Corporation itu dijangka menarik lebih 85,000 orang, menjadikannya perhimpunan terbesar peminat Vijay di luar India.
Bakal berlangsung selama 10 jam, acara ‘Thalapathy Thiruvizha’ itu akan menampilkan 30 penyanyi, persembahan langsung oleh pengarah muzik India, Anirudh Ravichander, penampilan artis terkemuka dari India dan Malaysia, serta dendangan lebih 40 lagu daripada filem Vijay termasuk lagu-lagu daripada filem ke-69 beliau, Jana Nayagan.
Vijay - antara bintang filem paling berpengaruh dan menerima bayaran tertinggi dalam industri filem Tamil - baru sahaja melancarkan parti politiknya Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dan telah diumumkan sebagai calon ketua menteri parti itu pada pilihan raya umum Tamil Nadu tahun depan.
-- BERNAMA