GAYA HIDUP

Arif Rafhan Angkat Motif Batik Sebagai Cerita Kehidupan, Identiti Bangsa

06/12/2025 10:17 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Hamparan batik bagi artis visual Arif Rafhan Othman bukan sekadar permainan warna pada kanvas ataupun hiasan semata-mata, sebaliknya menjadi  dunia kecil yang mengungkap 1,001 cerita di sebalik kepelbagaian motif yang terangkum halus dalam setiap karyanya.

Bagi lelaki berusia 48 tahun ini, setiap motif yang dilakarkannya hadir bukan secara rawak akan tetapi dipilih dengan teliti untuk membawa sesiapa sahaja mampu menyelami pelbagai lapisan makna daripada kisah sejarah, budaya setempat sehinggalah pengalaman masyarakat yang diangkatkannya melalui karya seni. 

Dikenali dengan nama seni Superdoofus,  Arif Rafhan begitu sinonim dengan hasil karya yang melambangkan perpaduan dan kepelbagaian budaya di negara ini dengan motif dipilih bagi mewakili identiti pelbagai bangsa di negara ini.

pic-2

Menemuinya pada Sambutan Hari Batik Malaysia 2025 di sini baru-baru ini, lulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini menunjukkan kepada Bernama bagaimana sehelai karya batiknya mampu menterjemahkan identiti Malaysia. 

“Untuk karya ini, ada lukisan peta menggunakan motif berbeza pada setiap negeri...misalnya kipas melambangkan bangsa cina, rumah ibadat dan sebagainya tetapi yang menjadi protagonis (watak utama) ialah bunga cempaka.

“Bunga cempaka diibaratkan mendukung semua elemen (keharmonian) tersebut menjadi satu penghubung identiti negara ini kerana kebanyakan motif pada batik akan mempunyai motif ini. We are federation bukan satu bangsa, jadi tunjuk bagaimana  pelbagai bangsa dan negeri boleh bergabung menjadi satu negara,” katanya. 

Bagi Arif Rafhan, nikmat kesejahteraan dan keharmonian yang menjadi nadi kehidupan rakyat  Malaysia wajar ditafsirkan ke dalam karya seni agar terus mengangkat keunikan negara,  sesuatu yang menurutnya jarang dimiliki negara lain. 

pic-3

Tidak mahu mensia-siakan keunikan itu dengan menterjemahkannya dalam karya seni, artis visual ini percaya seni visual bukan sahaja mampu menarik minat khalayak, malah menjadi medium penceritaan yang menjadikan batik kekal relevan, bukan sekadar trend sementara.

“Pada zaman 90-an ada satu era iaitu gaya GQ, which seluar jeans atau pakaian moden ketika itu dilipat dan pada bahagian lipatan itu ditampal corak batik. Ketika itu, saya tengok ramai yang pakai tetapi trend itu hanya sekejap kerana hanya guna batik sebagai hiasan.

“Tiada jalan penceritaan di sebalik terhasilnya batik itu dan (ia) hanyalah motif batik yang mengikut trend. (Batik) memang boleh jadi trend tetapi untuk jadikannya berkekalan perlu ada relevannya iaitu jalan cerita (supaya) akan tahan lebih lama,” katanya.

pic-4

Mula berkecimpung dalam bidang ilustrasi pada 2014, Arif Rafhan berkata pemilihan motif dan cara penceritaan dalam karya batiknya itu dipengaruhi pengalaman peribadi serta minatnya yang cenderung untuk menggabungkan elemen budaya tempatan dengan mesej sosial.

Tidak terkecuali pernah menghasilkan karya solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin, istimewanya apabila hasil seninya itu digabungkan dengan elemen Tatreez iaitu seni sulaman negara itu yang sekali gus menjadikan karya tersebut bukan sekadar cantik tetapi membawa nilai kesalinghubungan tinggi antara dua negara. 

“Saya juga ada memasukkan elemen Tatreez, iaitu seni sulam Palestin dan menggabungkannya dengan batik Malaysia untuk menceritakan kisah tentang Palestin. Warna tembikai saya gunakan sebagai simbol buah itu sendiri yang menjadi simbol ketahanan,” katanya.

Menurutnya,  perkembangan batik hari ini begitu memberangsangkan, dengan evolusi yang tidak lagi terikat kepada corak tradisional atau warna tertentu, sebaliknya motif dan gaya batik kini turut dipengaruhi perubahan selera masyarakat serta peredaran era digital.

pic-5

Disifatkannya paradigma tersebut yang melakari motif, rona warna tidak sekadar mencakupi dalam ekosistem tempatan bahkan turut dipengaruhi dengan perkembangan global apabila negara lain turut sama bereksperimen dengan gaya batik masing-masing agar kekal relevan.

“Kalau dulu memang dapat lihat dengan jelas batik Malaysia guna warna terang tetapi sekarang di Indonesia pun dah mula guna warna terang. It's no longer about that anymore. Zaman berubah, the people won't buy the same stuff in the 1940s, 1950s kan. Jadi setiap elemen, media ada evolusi sendiri.

“Batik Malaysia pun ada evolusi sendiri. Dah mula ke abstrak, kurang penggunaan bunga sekarang lebih kepada garis-garis, titik-titik, kotak-kotak dan swirly. So tak ada nak kata ‘you have to stick inside this box forever’, Indonesia sama, Malaysia sama,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499426