JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Disyaki Ugut Warga Emas Guna Senjata Api

07/12/2025 03:48 PM

SUNGAI PETANI, 7 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an yang disyaki mengugut seorang wanita warga emas yang juga jirannya menggunakan senjata api, di sebuah taman perumahan di Bandar Laguna Merbok dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.45 pagi tadi dan tiba di lokasi pada 9.20 pagi.

"Panggilan yang diterima daripada seorang wanita memaklumkan mengenai insiden ugutan bunuh seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol terhadap jirannya.

"Kita buat serbuan dan siasatan di lokasi dan merampas senjata berkenaan. Suspek yang berusia lingkungan 30-an turut ditahan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi memastikan status pemilikan senjata api, sama ada dimiliki secara haram atau berlesen.

"Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Hanyan.

Sementara itu, mangsa berusia 70-an yang enggan dikenali berkata suspek datang ke rumahnya lalu menendang pagar rumah dan mengacukan senjata ke arah warga emas tersebut.

"Dia marah-marah, tendang pagar rumah dan acu senjata. Ini bukan kali pertama dia marah-marah, saya tak tahu puncanya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499791