JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Kereta Dihempap Mesin Cerucuk

07/12/2025 10:38 PM

SIBU, 7 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap mesin cerucuk di Kampung Peruan, Long Tuma, Lawas petang tadi.

 Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Bili Muli, 31, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lawas.

“Bomba menerima panggilan kejadian pada 4.55 petang. Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lawas berserta jentera tiba di lokasi yang jaraknya lapan kilometer dari balai bomba itu pada 5.03 petang,” menurut PGO.

Mangsa dikeluarkan dari kenderaan itu menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi memudahkan kerja-kerja pemotongan kenderaan.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 6.45 petang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499906